SUNGAI BESAR (Selangor): Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berharap pengisytiharan varieti padi spesialti baharu MRQ 103 atau ‘MARIA’ dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya para petani dan pengguna beras spesialti tempatan.
Beliau yang mengisytiharkan varieti baharu padi itu yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, hari ini berkata pada masa sama ia akan memperkukuhkan industri padi dan beras spesialti negara.
Ini juga menunjukkan MARDI terus menghasilkan baka/varieti baharu tanaman yang terbaik, katanya dalam satu kenyataan.
MARDI memperkenalkan varieti padi spesialti baharu MRQ 103 iaitu ‘MARIA’ singkatan bagi MARDIRiceAroma.
Varieti ini dihasilkan melalui kacukan di antara MRQ 89 dan MRQ 50. Ini juga sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap beras wangi yang berkualiti dan mempunyai nilai kesihatan.
Ciri-ciri menarik varieti ini termasuklah matang sekitar 117 – 120 hari selepas tanam, pokok yang rendah sekitar 105 cm dan prestasi hasil sehingga 5.8 tan/ha. Varieti ini tergolong dalam kategori beras yang panjang dan tirus, beraroma serta kandungan amilosa yang sederhana.
Tekstur nasi adalah seroi, tidak melekit dan mempunyai kandungan indeks glisemik (GI) yang rendah dan sangat sesuai untuk pesakit diabetis. Varieti ini juga sederhana rintang terhadap penyakit karah dan benah perang, namun begitu, sederhana rentan kepada penyakit hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus (tungro).
Pada majlis sama turut diadakan majlis menandatangani dokumen pelesenan eksklusif di antara MARDI dan Syarikat Padi Pukal Parit 7 (Sekincan) Sdn. Bhd.
Kerjasama pintar (smart partnership) MARDI dengan pihak swasta ini, bagi membolehkan padi spesialti ini dapat diperluaskan pengeluarannya secara komersial dengan skala lebih besar.
Sejak penubuhan MARDI pada 1969, MARDI telah berjaya menghasilkan 53 varieti padi yang terdiri daripada 40 varieti padi biasa, 12 varieti padi spesialti dan satu varieti padi hibrid. Setiap varieti yang dibangunkan adalah untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi, menyelesaikan masalah semasa seperti penyakit dan perosak di samping memenuhi citarasa rakyat Malaysia.
Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.