Pasukan khas tangani isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ditubuhkan

 

 

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri semalam telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya, bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan khas yang diketuainya itu, dianggotai Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun, dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara, sedang menentukan terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu, bagi pasukan khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BHEUU dan Kementerian Luar akan bertindak selaku urus setia pasukan khas itu.
Wan Junaidi berkata kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu, khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
Justeru kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini, demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” kata Wan Junaidi.
Pada Selasa lepas, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.
Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu, untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa, Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion (AS$1=RM4.44).
Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.
Katanya keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
Pada Selasa lepas, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
Dalam kenyataan Wan Junaidi pada Rabu, beliau berkata kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles