KOTA BELUD: Srikandi Bersatu Sabah perlu terus memperkasakan program mendekati rakyat selain melakukan proses ‘tambah nilai’ dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.
Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd. Dun berkata, berikutan itu, setiap kepimpinan Srikandi Bersatu peringkat bahagian serta cawangan perlu segera menggerakkan jentera masing-masing bagi melaksanakan program yang disusun atur.
Menurut beliau, pada masa yang sama setiap ahli perlu memiliki semangat solidariti dan jati diri yang kental dalam menghadapi apa juga cabaran yang ada.
“Inilah formula yang cukup penting untuk pasukan Srikandi Bersatu dalam perjuangan politik yang semakin mencabar ketika ini.
“Kita ingin mengingatkan pemimpin akar umbi supaya bekerja secara berpasukan kerana setiap gerak kerja tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan jika dilakukan secara berseorangan,” katanya semasa perjumpaan dengan jentera Srikandi Bersatu Kota Belud di Kota Belud semalam.
Hadir sama Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud, Datuk Japlin Akim, Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda, Ketua Srikandi Bersatu Kota Belud, Hasrina Datuk Golkhan serta ahli jawatankuasa Srikandi Bersatu Kota Belud.
Beliau berkata, semua pihak harus sedar dan faham bahawa pilihan raya bermakna Bersatu perlu berhadapan dengan kawan dan lawan yang masing-masing mempunyai strategi dan kekuatan tersendiri.
“Tanpa kerja berpasukan tidak mungkin kita dapat menahan asakan-asakan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan kita. Satu elemen yang penting ialah ahli parti perlu terus memperkasa gerak kerja memberi penerangan kepada kumpulan sasaran,” tegas beliau.
Menyentuh mengenai perjumpaan tersebut, beliau berkata, banyak perkara dan isu yang dibangkit, dibincang dan diperhalusi demi memperkukuhkan jentera parti untuk mengharungi cabaran PRU-15 di peringkat akar umbi.
Beliau turut mengingatkan semua ahli agar melengkapkan diri dengan pengetahuan dan isu-isu semasa khususnya melibatkan masyarakat setempat bagi membolehkan parti mendekatkan diri dengan sasaran pengundi.
Katanya, kemahiran memanfaatkan media sosial juga perlu dimiliki oleh semua ahli dalam menyebar luas perjuangan parti kepada rakyat.