Projek BELB Sistem Solar Hibrid Kg. Long Pasia terbangkalai

SIPITANG: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan perlu menyelesaikan Projek Bekalan Eletrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Station 2 Kampung Long Pasia yang terbangkalai.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang, Encik Sani Miasin berkata, projek itu yang dilaksanakan secara rundingan terus (reka dan bina) pada tahun 2017 sepatutnya siap pada tahun 2019.

Katanya, malangnya projek itu telah gagal disiapkan mengikut jadual dan terbangkalai sejak beberapa tahun lalu, tanpa sebarang progress sehingga kini”.

Beliau berkata, kegagalan kontraktor utama menyiapkan projek itu telah merugikan rakyat kerana mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan”.

“Pemuda UMNO Sipitang meminta pihak KPLB Persekutuan memberi penjelasan punca kegagalan projek itu, kerana berjuta ringgit duit rakyat telah dibelanjakan untuk projek itu.

“Kita mahu tahu apa status projek itu. Sekiranya berlaku ketirisan yang menjadi punca projek itu terbangkalai, Pemuda UMNO meminta agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan.

“Kita juga meminta Menteri KPLB Persekutuan agar dapat turun ke Long Pasia untuk melihat sendiri projek yang terbangkalai ini. Berapa lama yang perlu ditunggu oleh penduduk Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio untuk menikmati kemudahan bekalan eletrik sistem solar hibrid “, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sani yang menerima aduan daripada penduduk kampung telah meninjau tapak projek itu semasa lawatannya ke Kampung Long Pasia, baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan maklumat pada papan tanda projek itu yang telah roboh, kontraktor utama projek itu ialah NM 13 Sdn.Bhd dari Shah Alam. Jurutera Perunding Utama ialah EP Engineering Services yang beralamat di Penampang dan Jurutera Perunding Sivil dan Struktur ialah Alamega Konsult juga dari Penampang.

Beliau difahamkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid untuk Sipitang dilaksanakan di dua (2) stesen, masing-masing terletak di Kampung Meligan dan Long Pasia dengan lebih 500 rumah daripada tujuh kampung dapat menikmati kemudahan itu.

Stesen Solar di Kampung Meligan mampu membekalkan elektrik untuk lima buah kampung iaitu Kampung Meligan, Kampung Ulu Bole, Kampung Mangayam, Kampung Rundulang dan Kampung Iburu. Manakala stesen Long Pasia untuk kegunaan dua kampung iaitu Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio.

Beliau berkata pembinaan stesen hibrid solar di dua (2) stesen itu amat penting memandangkan kampung-kampung berkenaan belum menikmati kemudahan bekalan eletrik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles