KOTA KINABALU: Seramai 22 murid tahap dua Sekolah Kebangsaan Api Api telah berjaya mengadakan lawatan sambil belajar ke Pameran STEM (Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik) anjuran Pusat U-Science Universiti Malaysia Sabah sempena Konvokesyen UMS ke-23.
Lawatan yang melibatkan ahli Kelab STEM SK Api Api pada 26 Jun lepas telah membantu memberi pendedahan baharu yang sangat bermanfaat kepada murid yang menyertainya setelah hampir dua tahun tidak berpeluang menghadiri sebarang aktiviti fizikal sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.
Guru Besar SK Api Api Mohd Hafiz Zuraimy bin Damsah yang hadir dalam lawatan tersebut menyatakan penghargaan beliau kepada pusat U-Science UMS atas kejayaan program itu.
Beliau berharap program seumpama itu akan diadakan lagi dengan pihak Pusat U-Science UMS pada masa akan datang. Mohd Hafiz turut menyatakan sekolah akan mengaplikasikan aktiviti dan pembelajaran STEM untuk kemenjadian murid SK Api Api.
Lawatan sambil belajar Kelab STEM tersebut turut diiringi wakil exco Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Api Api Norhanieyati Norhaizat dan dua orang guru Sains iaitu Rosle Basas dan Mahizah.