Ibu sebak terima PhD mendiang anak

Oleh: Sadianti Osman

Advertisements

KOTA KINABALU: Seorang ibu terharu mendengar nama mendiang anaknya, Ng Yi Ming, 35, graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang meninggal dunia akibat masalah jantung tahun lepas, diumumkan di pentas Majlis Konvokesyen UMS ke-23, kelmarin.

Cheng Lak Mooi, 65, ibu kepada mendiang telah menerima skrol bagi pihak anaknya yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin.

“Saya sangat gembira kerana dapat memenuhi hasrat mendiang untuk hadir dan menerima skrol bagi pihaknya.

“Sebelum menerima PhD dalam bidang psikologi di UMS, mendiang juga telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Psikologi Industri dan Organisasi di UMS, dan Ijazah Sarjana Sains Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Mendiang merupakan seorang yang rajin dan sangat cekal. Kami sangat berbangga kerana mendiang telah berjaya melangkah sangat jauh sehingga ke tahap ini walaupun sedang menderita penyakit jantung,” katanya.

Cheng turut menceritakan yang mendiang telah membuat pembentangan Viva pada 21 Januari 2021 dan diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat pembetulan tesis sebelum dihantar.

Bercerita tentang penyakit jantung yang dihidapi, mendiang pernah menjalani rawatan pembedahan penggantian injap pada bulan September 2014.

“Setelah menjalani pembedahan besar yang berisiko tinggi itu, mendiang sering mengalami masalah heart palpitations.

“Dia menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari 2021 setelah lebih 20 tahun menderita penyakit mitral valve prolapse.

Untuk rekod, mendiang dianugerahkan ijazah secara anumerta dan salah seorang daripada 77 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles