Hidap SLE Tidak Halang Nur Farina Genggam Ijazah

Oleh: Sadianti Osman (Pelajar Komunikasi UMS)

Advertisements

KOTA KINABALU: Menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) tidak menghalang Nur Farina Amalia Mohd Isa,24, menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujiaan (Pembangunan Belia dan Komuniti).

Graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu malah berjaya meraih keputusan yang memberangsangkan dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.42.

Menurut Farina, beliau disahkan menghidap penyakit SLE pada tahun 2019 ketika pada cuti semester dua pengajian.

“Sepanjang cuti selama tiga bulan, saya sakit teruk seperti tidak dapat berjalan, sendi mengeras secara tiba-tiba dan sukar untuk bangun.

“Setelah berjumpa dengan doktor pakar, saya telah disahkan menghidap penyakit ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23, di sini, hari ini.

Farina berkata, beliau kini boleh menjalani kehidupan seperti biasa namun perlu mengambil ubat SLE seumur hidup.

“Tapi saya sangat bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan yang memahami dan menyokong saya. Untuk makluman, penyakit SLE ini menyebabkan kesukaran yang kadang kala memerlukan saya menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang sering membantu menolak kerusi roda dan bersama-sama ketika susah dan senang.

“Dan yang lebih utama, terima kasih juga kepada ahli keluarga saya yang sentiasa memahami dan tidak putus-putus memberikan suntikan semangat.

“Merekalah kunci utama sehingga saya berjaya menamatkan pengajian dan hadir ke Majlis Konvokesyen UMS hari ini,” jelas Farina.

Gadis berasal dari Lahad Datu itu merupakan antara 1,328 graduan yang diraikan di pentas Dewan Canselor hari kedua Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles