KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin optimis sekolah-sekolah luar bandar, jika diberi bimbingan dan tunjuk ajar yang baik, mampu melahirkan ahli sukan berwibawa pada masa depan.
Beliau berkata walaupun sekolah-sekolah luar bandar termasuk di pedalaman Sabah masih kekurangan daripada segi kemudahan sukan, namun ia tidak menjadi penghalang kepada pelajar luar bandar untuk maju dalam arena sukan.
“Adalah tidak mustahil jika hari ini murid-murid yang berlari berkaki ayam di atas trek rumput tetapi pada satu hari nanti murid tadi akan berlari di persada trek antarabangsa mengibarkan bendera Negara,” katanya.
Ellron yang juga bekas pelari pecut negara dan berasal dari Sook, bahagian pedalaman Sabah berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga MSS Zon Apin-Apin kali ke-49 di SK Kapayan Baru, dekat sini pada Rabu.
Sambil memberi contoh sekolah-sekolah Zon Apin-Apin, beliau berkata meskipun sekolah-sekolah terbabit berada dalam kategori luar Bandar namun cukup berkemampuan dan berkebolehan untuk melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam bidang sukan.
Ellron berkata sukan olahraga amat cukup penting kepada rakyat dan negara khususnya generasi anak bangsa pewaris nusa yang tercinta.
“Ia memang penting Apatah lagi aktiviti sukan ini telah tertangguh lebih dua tahun disebabkan oleh covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara kita yang akhirnya kita berdepan dan menerima Perintah Kawalan Pergerakan dengan pelbagai SOP yang ketat.
“Syukur kita kini berada pada fasa endemik yang akhirnya membolehkan aktiviti sukan dilaksanakan,” katanya.