Pelbagai pengalaman dan pengetahuan diperoleh peserta mobiliti UMS di Cankiri Karatekin University, Turkiye

KOTA KINABALU – Pelbagai pengalaman menarik dan pengetahuan baharu diperoleh enam kakitangan akademik dan staf pentabiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai program mobiliti di Cankiri Karatekin Universitiy, Turkiye baru-baru ini.

Advertisements

Bagi Timbalan Dekan (Akademik dan Pengantarabangsaan) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Dr. Lim Fui Yee Beatrice, program tersebut membolehkan beliau merasai sendiri cabaran pensyarah luar negara mengajar pelajar lokal yang belum pernah dialaminya sebelum ini.

“Pengalaman ini memberikan saya peluang meningkatkan kemahiran silang budaya yang amat bermanfaat untuk diterapkan semasa menjalankan pengajaran di UMS khususnya dalam sesi kuliah melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa.

“Pada masa yang sama, saya tertarik dengan pendekatan sistem pendidikan Turkiye yang mengadunkan perspektif global dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.

“Melalui pendekatan ini, saya melihat ia mampu melahirkan graduan mempunyai ciri-ciri pemimpin global yang peka kepada perubahan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia,” katanya.

Ujar Beatrice, program mobiliti itu juga memberi laluan kepada pemerkasaan ilmu menerusi penyelidikan, penerbitan dan pertukaran budaya melibatkan ahli akademik, staf pentadbiran dan para pelajar di kedua buah negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media, di sini hari ini.

Turut berkongsi pengalaman yang sama ialah Timbalan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, Prof. Madya Dr Wardatul Akmam Din.

Katanya, program tersebut turut memberi pengetahuan yang sangat berguna terutamanya dalam pelaksanaan sebenar sesuatu aktiviti.

“Ini adalah kerana mereka yang terlibat sama ada para pensyarah mahu pun kakitangan pentadbiran dapat membuat pemerhatian secara langsung dan turut berpeluang melakukan aktiviti tersebut di lapangan, yakni di pejabat pentadbiran universiti terlibat dengan bimbingan rakan sejawatan,” ujarnya yang juga merupakan pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS.

Dalam pada itu, dua kakitangan pentadbiran, Junainah Ismail dan Arvina Matthew  menyifatkan ketelitian dalam pengurusan aktiviti dapat mengurangkan kebergantungan berlebihan sumber tenaga dan pengurangan terhadap kos pengurusan.

“Itu adalah antara pengetetahuan yang kami capai sepanjang mengikuti program mobiliti yang turut disertai peserta dari Algeria, Sudan, Tunisia dan Bangladesh.

“Selain itu, komunikasi yang mudah difahami memainkan peranan yang cukup penting dalam mempastikan perkhidmatan yang berkualiti dapat disampaikan.

“Beberapa kemahiran praktikal lain turut diperolehi melalui perkongsian kakitangan pentadbiran dari universiti Cankiri Karatekin University.

“Ia termasuklah tatacara pengurusan dokumentasi yang cekap dan cepat, selain pengendalian majlis hanya dibuat oleh staf tertentu dengan memfokus perkara yang penting sahaja,” jelas mereka.

Turut serta dalam program mobiliti itu ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda dan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Madya Dr. Suyansah Swanto.

Untuk rekod, program mobiliti selama lima hari itu mendapat tajaan sepenuhnya daripada Erasmus.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles