Pejabat daerah diseru perkasa hubungan dengan KPLB Persekutuan

KUDAT: Pejabat-Pejabat Daerah diseru sentiasa memperkasa hubungan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, ini termasuklah persetujuan bagi perkongsian maklumat dan penyelarasan projek-projek yang dilaksanakan oleh KPLB Persekutuan di Sabah.

“Kerjasama di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan KPLB Persekutuan akan terus diperkasa melalui persefahaman dan hubungan baik kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pemantauan Penyelarasan Dan Pelaksanaan Projek-Projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Persekutuan) Negeri Sabah Bersama Agensi Pelaksana Bil.1/2022 di Kudat, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah KPLB (P) Negeri Sabah, Johar Julasbi, dan Ketua Penolong Pengarah KPLB (P) Sabah, Nelbon Tulis Missun.

Menurut Jahid, kerjasama di antara kedua-dua kementerian di peringkat Persekutuan dan Negeri amat penting bagi memastikan segala peruntukan dibelanjakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.

“Saya dimaklumkan, bagi tahun 2022 sebanyak RM159,771,533.00 telah dibelanjakan setakat ini dengan melibatkan jumlah projek sebanyak 607 berbanding RM166,170,000.00 dengan sejumlah 635 projek bagi tahun 2021.

Justeru, beliau berharap kehadiran semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, serta wakil Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil seluruh Sabah itu akan dapat menyelesaikan pelbagai perkara dan membantu mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, beliau percaya semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah akan sentiasa berkerjasama dengan kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi nasihatnya kepada para pelaksana dasar di peringkat daerah agar sentiasa menjaga integriti dan memegang amanah yang diberi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles