Misi Maximus ke London kaji MA63 hanya sekadar menutup kegagalan tunai janji – Carlye

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud Carlye Lajimin menyifatkan misi Datuk Dr.Maximus Ongkili mengetuai rombongan untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan di London berkaitan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai sekadar menutup kegagalan menunai janji kepada rakyat Sabah sebelum ini.

Advertisements

Beliau berkata rakyat Sabah tidak mudah lupa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) pada 13 Mac 2020 yang mengakujanji dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan MA63 dalam tempoh enam bulan pada tahun yang sama.

“Rakyat Sabah menaruh harapan “setinggi Gunung Kinabalu” dengan janji manis ini namum hampa sehingga kini tiada berita dan tiada kemas kini maklumat sejauh mana progres usaha menyelesaikan isu-isu MA63. Tiba-tiba pemimpin yang sama, menyatakan akan mengetuai rombongan ke London untuk membuat kajian.

“Selepas 58 tahun Sabah merdeka, baharu ada usaha terbang ke London untuk mengkaji hak negeri..pada saya ini tindakan terdesak dan hanya “kasi siok” (senang hati) orang Sabah menjelang PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang akan mengetuai pasukan pakar undang-undang, penyelidik dan pegawai daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah yang dijadualkan berlepas ke London pada 19 Jun ini selama seminggu.

Carlye berharap rakyat Sabah khususnya KDMR tidak terpedaya dengan permainan politik seumpama ini sekadar memancing undi supaya kelihatan berjuang untuk rakyat Sabah menjelang PRU15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, walaupun usaha untuk menyesaikan isu berkaitan MA63 amat dialu-alukan, namun setelah sekian lama dijanjikan dengan kajian yang tidak berpenghujung, kini tiba masanya Sabahan menuntut ketelusan mengenai usaha itu.

“Apa perkembangan tindakan yang dilakukan sebelum ini? Sarawak sudah pernah ke London untuk membuat kajian, ada usaha pihak Dr. Maximus untuk konsultasi dengan Sarawak mengenai perkara ini? Kenapa perlu membazir dana awam ke London jika maklumat yang dicari boleh didapati dari rombongan Sarawak yang membuat kajian sama?

“Apa sebenarnya yang dikaji? Jangan cakap hak Sabah sahaja, nyatakan secara terperinci apa hak tersebut dan di mana kedudukannya dalam mukasurat MA63.

“Rakyat berhak untuk tahu apatah lagi perbelanjaan perjalanan ke London dibiayai oleh dana awam dan bukannya murah,” katanya.

Sumber Nabalu News

Related Articles

253FansLike

Latest Articles