Bekalan ayam negara beransur pulih dan mencukupi tampung keperluan penggunaan tempatan – MAFI

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet semalam telah mengambil maklum status bekalan makanan negara yang dibentangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi lapan lapan komoditi makanan utama iaitu daging ayam, daging lembu/ kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerusi satu kenyataan hari ini berkata secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan tempatan.

Bagaimanapun, katanya bekalan ayam telah menunjukkan trend bekalan yang lebih rendah berbanding keperluan bulanan bermula pada bulan Februari lepas namun bekalan semakin beransur pulih dan dijangka akan kembali stabil bermula Jun ini.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet semalam juga bersetuju dengan beberapa langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan sekaligus memastikan bekalan ayam kekal terjamin, antaranya:

i. mewujudkan kaedah pelaksanaan stokpail ayam untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan melibatkan Pertubuhan Peladang secara gabungan dan akan mula dilaksanakan dengan serta merta;
ii. mempermudah proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan khususnya penternak kecil dan sederhana di mana tuntutan amaun subsidi berjumlah RM157.53 juta dapat dilaksanakan dengan kadar segera;
iii. memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat (4) komoditi merangkumi soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan priority lane bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil;
iv. mempercepatkan proses keperluan lesen pengimportan di bawah DVS melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai 2022 dengan proses kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding dengan 30 hingga 90 hari yang akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan;
v. melaksanakan semakan semula ke atas tarif elektrik sektor agromakanan untuk mengurangkan beban kos operasi pengeluar makanan;
vi. memberikan pengecualian khas bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam mengikut keperluan bagi membolehkan aktiviti penternakan ayam beroperasi pada tahap optimum sekaligus menjamin kesinambungan pengeluaran; dan
vii. mengkaji mekanisme mengurangkan kos minyak sawit mentah (crude palm oil) kepada syarikat-syarikat pengilangan makanan ternakan (feedmill operators) yang dikenalpasti bagi mengurangkan kos makanan ternakan.

Ronald berkata pada masa yang sama, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan bersidang secara mingguan bagi memantau status bekalan komoditi utama makanan negara serta mengenal pasti isu dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap isu sekuriti makanan negara.

Katanya satu Kluster Dasar Sekuriti Makanan yang baharu juga telah diwujudkan iaitu Kluster Komunikasi Strategik di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) bagi memastikan rakyat mendapat mesej dan maklumat sekuriti makanan negara yang berterusan dan efektif selain menyampaikan inisiatifinsiatif Kerajaan berhubung sekuriti makanan. Kerajaan memandang serius apa-apa isu melibatkan bekalan makanan dan kos sara hidup.

Beliau berkata buat masa ini MAFI sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Setakat ini, sebanyak 1,644 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM113.2 juta telah diluluskan oleh MAFI, katanya.

Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60/kg dari 5 Februari 2022 hingga 30 Mac 2022 dan subsidi ini telah dinaikkan kepada RM1.40/kg bagi tempoh 1 April 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan.

Ronald berkata kerajaan akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak bagi menjamin kemampuan memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan oleh ‘Keluarga Malaysia’.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles