Perkasa hubungan antarabangsa, UMS bakal meterai MoU dengan universiti Turkiye

 
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus bertekad cemerlang seiring dengan visinya untuk menjadi sebuah universiti inovatif bertaraf dunia melalui pelbagai kerjasama strategik dan pencapaian di peringkat global.
 
Terbaru, Universiti Kampus Rahmah itu bakal menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) di peringkat antarabangsa bersama institusi pengajian tinggi negara Turkiye.
 
Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, Prof. Dr. Ho Chong Mun berkata, permeteraian MoU itu bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara UMS dengan institusi yang terletak di perantaraan benua Eropah-Asia (Eurosia) tersebut.    
 
“Ini adalah kemuncak daripada kerjasama yang telah kita wujudkan selama ini sekali gus menjadikan ia sebagai sebuah lagi coretan bersejarah untuk UMS di mata dunia.
 
“Pada masa yang sama, ia juga seiring dengan hala tuju Pelan Strategik UMS yang menggariskan Keterlihatan Global dalam Bidang Kerberhasilan Utama (KRA) ke-3,” katanya.
 
Ho Chong Mun berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Menurutnya, acara menandatangani MoU tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat melibatkan dua atau tiga universiti.
 
“Rombongan UMS akan diwakili oleh pengurusan tertinggi universiti dengan diketuai Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin.
 
“Turut dijadual hadir menyaksikan acara penuh bermakna ini ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad,” ujarnya.
 
Mengulas lanjut, Ho Chong Mun yang juga pakar dalam bidang matematik dengan ekonomi turut berkongsi kerjasama yang pernah terjalin antara UMS dengan negara Turkiye.
 
“Antaranya pada tahun 2017, UMS telah menghantar pelajar pascasiswazah untuk menimba ilmu dan pengalaman selama seminggu di negara tersebut yang mana mereka juga berkesempatan mengadakan interaksi bersama Persatuan Pelajar Malaysia Turkiye.
 
“Kemudian pada tahun 2019,  UMS telah menyertai Eurasia Higher Education Summit (EURIE 2019) di Istanbul yang memberi ruang membina jaringan rakan strategik di Eurosia selain mempromosikan UMS selaku destinasi pilihan pengajian tinggi di Asia.
 
“Pada Februari lalu, Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Dr. Merve Safa Kavakci telah mengadakan kunjungan ke UMS yang turut membawa perbincangan awal beberapa jalinan kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan marin.
“Manakala yang terbaru iaitu pada 9 Mei hingga 31 Julai 2022, UMS telah dan bakal menerima kehadiran pakar dan ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi Turkiye, khususnya Canciri Karatekin University menerusi program mobiliti tajaan Erasmus.
 
“Pada ketika ini empat ahli akademik, dua pegawai pentadbiran dan tiga pelajar UMS juga sedang menjalankan mobiliti di negara tersebut,” ujar Ho Chong Mun lagi.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles