SANDAKAN: Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa) menandatangani surat niat (LoI) untuk menjalin kerjasama bagi meningkatkan bidang pertanian di Sabah.
Menurut Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Azwan Awang, kerjasama tersebut dijangka dapat membawa manfaat kepada pelajar FPL melalui aktiviti kerja lapangan dan latihan industri di ladang-ladang ahli MaSDa.
“FPL bermatlamat untuk melatih modal insan bagi membantu menaikkan bidang pertanian negara berdasarkan tiga prinsip utama iaitu kelestarian, kepekaan dan teknologi tinggi.
“Selari dengan matlamat tersebut maka kerjasama dengan pihak industri seperti MaSDa dijalinkan demi memajukan lagi industri pertanian di negeri Sabah, khasnya,” ujarnya.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat hasil daripada projek penyelidikan yang akan dijalankan secara bersama.
Tambah Dr. Azwan, FPL bercita-cita untuk cemerlang dalam bidang pertanian melalui aktiviti penyelidikan inovasi dan perkembangan pertanian serta menyebar luas ilmu terkini dalam pertanian.
“Untuk fasa awal, kerjasama akan menumpukan kepada kajian agronomi dan pascatuai avocado,” jelasnya.
MaSDa adalah sebuah persatuan pengusaha buah-buahan yang berdaftar di Kota Kinabalu dan ahlinya terdiri daripada pengusaha ladang buah-buahan di beberapa daerah di negeri Sabah.
Ladang MaSDa diusahakan secara komersil dan pemasaran buah-buahan memasuki pasaran luar negeri Sabah.
Pada majlis menandatangani LoI tersebut, FPL diwakili oleh Prof. Madya Dr. Azwan Awang, manakala MaSDa diwakili oleh Pengerusi, Duane Evans.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Program Hortikultur dan Landskap, Dr. Salumiah binti Mijin; Wakil Persatuan Bahagian Pantai Timur/Syarikat Baja Harapan, Steve Lee dan Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Hj. Gimba.
Fakulti Pertanian Lestari UMS – MaSDa Meterai LoI dalam Bidang Pertanian
Advertisements