Mampukah GRS ikut jejak langkah GPS stabilkan keadaan politik Sabah ?

KOTA KINABALU: Jika kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya umum negeri dilihat sebagai model perkiraan, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berada di landasan yang betul dalam menstabilkan keadaan politik di negeri ini.

Advertisements

Bagaimana GPS telah menjadi Kingmakers dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas Langkah Shareton dan sekali lagi apabila Tan Sri Muhyuddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri serta keputusan memberangsangkan pilihan raya Sarawak 2021 sewajarnya menarik perhatian.

Kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan terutama dari segi menuntut hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

GRS boleh menggunapakai model GPS meskipun kemungkinan tidak dapat menghasilkan output (pengeluaran) yang sama seperti GPS tetapi masih boleh memperolehi sepertimana apa yang GPS perolehi.


Konsep terpenting daripada model GPS adalah perpaduan hasil daripada toleransi, persefahaman, kejujuran dan kepercayaan yang juga merupakan nilai-nilai asas kepada keharmonian masyarakat berbilang etnik dan agama.

Ramai pemerhati berpendapat GRS mampu ‘menambat hati pengundi Sabah’ dan diramal akan terus mendominasi arena politik negeri ini untuk jangka masa yang lebih lama.

Sejarah politik Sabah menunjukkan, mana-mana parti politik yang memerintah tidak bertahan lama malah akhirnya “jatuh’ selepas sedekad berkuasa.

Adakah GRS mampu menjadi ‘ubat ramuan ajaib’ yang boleh menstabilkan keadaan politik Sabah yang sukar diramal?

Penganalisa politik Dr Lee Kuok Tiung berkata peluang untuk merealisasikan impian itu semakin cerah melalui kerjasama komponen parti yang menganggotai GRS.

“Saya melihat pelancaran GRS Sabtu ini sebagai titik permulaan yang baik ke arah menyatupadukan parti-parti politik utama di Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, Lee berkata ramai pemerhati politik tertanya-tanya
sama ada UMNO akan muncul pada majlis pelancaran GRS esok.

Kemunculan UMNO dalam majlis tersebut akan menjadi indikator lebih jelas kerjasama di antara GRS-UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). lo

Begitu juga dengan tiga buah parti lagi iaitu LDP, PCS dan KDM yang masih menunggu keputusan sama ada diterima masuk GRS atau tidak. Sekiranya mereka muncul pastinya bermakna kebarangkalian diterima adalah lebih tinggi.

“Agak mustahil GRS duplicate sebiji (100%) model GPS tetapi andai kata hasrat GRS membentuk Blok Borneo dengan GPS sudah pastinya mendatangkan faedah yang lebih besar kepada Sabah Sarawak di masa akan datang terutama dalam soal deregulasi, autonomi, Borneonisasi dan pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada Sabah atau Sarawak,” katanya.

Lee berkata hubungan akrab di antara Ketua Menteri Sabah, Datuk seri Panglima Hajiji Hj Noor dengan Premier Sarawak, Abang Jo (Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg) seharusnya dimanfaatkan untuk kepentingan bersama khususnya hal-hak Sabah Sarawak.

“Sabah Sarawak tidak pernah minta apa yang lebih tetapi sekadar menuntut hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia misalannya Perkara 112D, MA63 dan pengagihan kekayaan yang lebih rasional dan adil berdasarkan fakta sebagai pengeluar minyak dan gas,” katanya.

Senario politik negara tidak menentu sementara rakyat tidak berpuas hati dengan kemajuan projek yang telah dirancang.

Bagi menangani isu tersebut, ia memerlukan kestabilan politik atau sebaliknya jikalau asyik berpolitik sahaja tanggungjawab terhadap rakyat terabai, kata Lee,

“Rahsia kepada kejayaan sesebuah perikatan parti politik adalah jumlah kerusi yang dimiliki untuk kuasa tawar-menawar. Meskipun GPS hanya memiliki 18 ahli parlimen ternyata angka tersebut lebih besar dan signifikan berbanding Warisan yang mempunyai 8 ahli parlimen,” katanya.

Justeru itu, katanya matlamat pembentukan perikatan parti politik haruskan diletakkan pada permuafakatan untuk memenangi seberapa banyak kerusi parlimen yang boleh pada PRU15.

“Hanya dengan kuasa politik sedemikian mampu memperolehi lebih banyak faedah yang boleh dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles