Hajiji gariskan teras perjuangan GRS penuhi aspirasi Sayangi Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menggariskan empat teras perjuangan gabungan lima parti politik itu bagi memenuhi aspirasi Agenda Sayangi Sabah.
Berucap merasmikan pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini, Ketua Menteri Sabah itu berkata teras pertama iaitu Sabah Diutamakan (Sabah First) bermatlamat meletakkan hak dan kepentingan Sabah serta menganjak status  pembangunan negeri itu dalam pelbagai aspek pada kedudukan teratas. 
Hajiji bagaimanapun berkata Sabah First tidak bermaksud mengenepikan kepentingan nasional namun sebagai wadah tempatan amanah dan tanggungjawab besar GRS adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu.
“Kita yakin dan percaya sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya.
Hajiji berkata teras kedua iaitu Sabah Melangkah ke Hadapan (Sabah Forward) bertujuan membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan secara strategik dan berfokus demi membina legasi kemajuan untuk dinikmati dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Teras ketiga iaitu Sabah Prosper pula adalah bagi menterjemahkan kesungguhan kerajaan melaksanakan serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah melalui pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Menurut Hajiji walaupun ada pihak tertentu cuba mewujudkan persepsi negatif dengan menafikan signifikasi Hala Tuju SMJ namun gabungan parti politik itu tidak akan membiarkan kepentingan politik sempit itu memesongkan mereka dari landasan serta fokus dalam menggerakkan pelan pembangunan berkenaan.  
“Atas sebab itu, perjuangan Sabah First, Sabah Forward dan Sabah Prosper harus bergerak seiring bersama perjuangan Sabah United iaitu mewujudkan Sabah yang bersatu sebagai teras yang keempat,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (Bersatu) Sabah berkata GRS juga akan mempertimbangkan penubuhan Sayap Pelajar dan Sayap GRS Plus menghimpunkan badan-badan politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Selain keanggotaan secara langsung sebagai ahli GRS, penubuhan Sayap Wanita dan Sayap Pemuda kita wajar mempertimbangkan segera penubuhan Sayap Pelajar atas permintaan golongan itu,” katanya.
Komponen GRS terdiri daripada lima parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles