Majlis Rumah Terbuka RAYA@UMS meriah selepas dua tahun tidak diadakan

 
KOTA KINABALU: Setelah dua tahun tidak diadakan akibat pandemik Covid-19, kira-kira 500 kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan sambutan Majlis Rumah Terbuka RAYA@UMS yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Pusat, di sini, hari ini.
 
Majlis yang dianjurkan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) menyaksikan aneka juadah makanan daripada Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) UMS yang dihidangkan untuk dinikmati bersama.
 
Uniknya, sambutan yang diraikan oleh warga UMS tanpa mengira kaum dan agama ini turut diserikan lagi dengan hiasan-hiasan menarik berkonsepkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
 
Selain berbaju Melayu, ada yang hadir memakai busana tradisi Kadazan Dusun sempena sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan pada penghujung bulan ini.
 
Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, majlis rumah terbuka itu bertujuan mengeratkan jalinan ukhuwah, persaudaraan dan perpaduan sesama warga UMS.
 
“Selama dua tahun, kita tidak dapat menyempurnakan rumah terbuka sama ada dalam skala kecil atau besar ekoran pandemik Covid-19 yang membelenggu kehidupan kita seharian.
 
“Alhamdulillah, pada tahun ini kelonggaran telah diberikan pihak berkuasa dan negara kita mula memasuki fasa peralihan endemik yang menyaksikan kegiatan ekonomi dan sosial mulai beransur-ansur pulih dengan SOP yang tidak lagi ketat sebagaimana sebelum ini.
 
“Majlis sebegini boleh dijadikan batu loncatan untuk kita merapatkan kembali hubungan, saling bermaafan dan bersedia membuka lembaran baru bagi mewujudkan permuafakatan yang lebih utuh lagi,” katanya.
 
Walaupun kelonggaran telah diberikan, Taufiq berkata, kesedaran mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka masih perlu dipraktikkan.
 
“Saya yakin dan percaya, majlis ini berjaya menyatukan kepelbagaian agama dan budaya, menunjukkan keharmonian berbilang latar belakang kaum dan kepercayaan, yang akhirnya mencetuskan kesatuan dan muhibbah dalam kalangan warga.
 
“Betapa saya terharu dan sangat-sangat bersyukur kerana kita dipertemukan di dalam majlis ini,” katanya.
 
Pada majlis itu, Taufiq turut menyampaikan sijil dan insentif penghargaan bernilai RM1,000 kepada atlet UMS yang menyumbang pingat dalam acara futsal wanita dan lompat tinggi kategori lelaki pada Sukan SEA di Vietnam baru-baru ini
 
Turut hadir pada majlis itu, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles