TELUPID: Pembukaan cawangan Agrobank Telupid akan mempertingkatkan kegiatan ekonomi penduduk terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang holistik dan
mampan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Agrobank di Telupid merupakan cawangan ke 140 dibuka di negara ini.
Katanya antara perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna Agrobank di Telupid adalah
perkhidmatan asas perbankan serta urusan pembiayaan.
“Agrobank turut menyediakan perkhidmatan konsultasi pembiayaan
kepada mana-mana usahawan bagi membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan,” katanya ketika merasmikan Agrocorner Agrobank Telupid di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd, Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata Agrobank ada menawarkan pelbagai skim pembiayaan khas
seperti Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’-i untuk menggalakkan lebih ramai
agropreneur wanita dan Program Pembiayaan Agro Teras bagi membantu
usahawan mikro yang tergolong dalam kumpulan B40 untuk mendapatkan
pembiayaan kewangan khusus bagi membangunkan perniagaan berasaskan
pertanian dan industri makanan.
Justeru, beliau menggalakkan agar penduduk Telupid mengambil peluang ini
dan berkunjung ke Agrobank Telupid bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan
produk-produk dan perkhidmatan yang disediakan daripada Agrobank.
“Saya yakin melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank, para usahawan
agro akan dapat meningkatkan kualiti pertanian dan mempertingkatkan
produktiviti masing-masing termasuk menerusi teknologi dan inovasi pertanian,” katanya.
Beliau berkata MAFI telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif kepada orang
ramai yang berminat untuk menjadi usahawan agro dan memajukan perniagaan
berasaskan pertanian dan industri makanan.
Katanya ini merupakan antara usaha
berterusan Kementerian bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) seterusnya meningkatkan kestabilan jaminan bekalan makanan negara.
Menurutnya strategi-strategi di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) juga sedang giat
dilaksanakan dalam usaha memperkasa sistem makanan negara agar kekal berdaya
tahan dalam mengharungi sebarang krisis masa kini dan di masa hadapan
.
MAFI akan terus berusaha untuk memastikan kebimbangan Keluarga Malaysia
tentang bekalan makanan ditangani secara menyeluruh menerusi usaha yang
dijalankan oleh Jabatan dan Agensi di bawah MAFI, katanya.
Pada majlis itu Ronald turut menyampaikan surat tawaran pembiayaan
yang telah diluluskan kepada pelanggan Agrobank di sekitar Telupid yang akan
diberikan kepada 89 Supersave Mini Market yang menerima pembiayaan
Keluarga Malaysia Guarantee Government Scheme.
Agrocorner Agrobank Telupid yang dibuka sejak dua minggu yang lalu telah mencatatkan pembukaan akaun baharu sebanyak 159 akaun.