Penyelidik UMS hasilkan produk kesihatan dan kecantikan organik

 
KOTA KINABALU: Herba tempatan Sabah berpotensi dibangunkan dalam industri produk kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat dan bebas bahan kimia berbahaya.
 
Ini dibuktikan seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik hasil penyelidikan terhadap buah tempatan durian belanda dan sarang burung.
 
Menurut pakar biokimia Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Prof. Madya Dr. Md Shafiquzzaman Siddique, idea penyelidikan produk kesihatan organik tercetus pada tahun 2017 berikutan isu pengharaman produk kosmetik tempatan akibat penggunaan bahan kimia bahaya dan terlarang ketika itu.
 
“Produk kosmetik sintetik akan merubah kulit menjadi kelihatan cantik tapi penggunaan jangka panjang boleh mengakibatkan kanser. Kajian Jacobs et. al. (2018) melaporkan sebanyak 41 peratus penyebab kanser adalah bahan kosmetik.
 
“Justeru saya telah menjalankan penyelidikan terhadap beberapa herba tempatan Sabah dan berjaya menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan organik yang dikenali sebagai Vivify,” katanya.
 
Shafiquzzaman berkata demikian ketika ditemui pemberita, di sini..
 
Beliau memaklumkan, durian belanda dan sarang burung dipilih sebagai ramuan utama penghasilan produk tersebut.
 
“Ini kerana durian belanda mengandungi sebatian bioaktif yang antara lain berfungsi sebagai antioksidan.
 
“Manakala, sarang burung mengandungi kolagen yang terkenal dengan manfaat untuk kecantikan kulit.
 
“UMS akan terus membuat penyelidikan terhadap herba-herba tempatan di Sabah bagi mengenal pasti khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan,” ujarnya yang juga diiktiraf oleh Stanford University sebagai antara 2 peratus saintis terbaik dunia.
 
Untuk rekod, antara produk kecantikan dan kesihatan organik yang dihasilkan Shafiquzzaman termasuklah syampu, pencuci muka, sabun mandi dan teh minuman.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles