SMART SBB terbukti berhasil tingkat pendapatan pesawah, purata hasil padi sehektar, kurangkan kebergantungan orang tengah

SEBERANG PERAI TENGAH (Pulau Pinang) — Program Smart Sawah Bersakala Besar (SMART SBB) terbukti berhasil meningkatkan pendapatan dan purata hasil padi sehektar selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Advertisements

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sebagai contoh program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor melibatkan kawasan seluas 100 hektar telah meningkatkan purata hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.

Katanya di Batang Lupar, Sarawak telah merekodkan peningkatan hasil pendapatan daripada 50 peratus sehingga 100 peratus yang memberi manfaat 245 orang pesawah yang terlibat dengan program ini.

“Program SMART SBB merupakan inisiatif Kerajaan melalui MAFI untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi dengan mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

“Program ini bermatlamat meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah dengan sasaran jumlah kawasan sawah padi seluas 150,000 hektar di seluruh negara secara berperingkat,” katanya menerusi kenyataan MAFI pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) SMART SBB antara MAFI dan Syarikat Peneraju di sini, hari ini.

MOU yang ditandatangani pada hari ini oleh MAFI melibatkan lima syarikat peneraju yang baharu iaitu Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad, Koperasi Jalan Sempadan Nibong Tebal Berhad, Koperasi Kelompok Padi Jalan Baru Nibong Tebal Berhad, Kilang Beras Siong Heng Sdn Bhd dan OBL Maju Sdn Bhd.

Program SMART SBB di Pulau Pinang yang melibatkan keluasan kawasan 942 hektar dan 420 orang pesawah akan dilaksanakan di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang.

Ronald berkata sejak diperkenalkan pada 23 Februari 2021, program SMART SBB telah berjaya dilaksanakan di sembilan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan penglibatan sebanyak 19 buah syarikat peneraju setakat ini.

Katanya MOU yang termeterai hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penglibatan syarikat peneraju dalam program SMART SBB adalah sebanyak 24.

“Saya yakin kolaborasi strategik antara MAFI bersama Koperasi dan Syarikat-Syarikat Peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Pulau Pinang,” katanya.

Di majlis sama, beberapa acara lain diadakan iaitu Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena telah Menandatangani Perjanjian Pengurusan Program SMART SBB.

Pertukaran Dokumen Aplikasi Teknologi Hijau Solar Photovoltaic antara Lotus MFZ Green Tech (M) Sdn Bhd dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang susulan pelaksanaan tenaga alternatif solar photovoltaic di semua pejabat IADA serta infrastruktur pengairan iaitu rumah pam utama di kawasan jelapang sebagai usaha penjimatan kos operasi Kerajaan seterusnya menyahut seruan penggunaan teknologi hijau di dalam industri pertanian.

Ronald juga telah menyampaikan Insentif Projek Peningkatan Hasil Padi kepada 6 kelompok dari Pulau Pinang yang merangkumi Insentif Pengurusan Pemuliharaan dan Peningkatan Kesuburan Tanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM421,400 dan Insentif Petak Model Pengurusan Kawalan Rumpai dan Padi Angin dengan nilai keseluruhan sebanyak RM266,000.

Tiga usahawan turut menerima geran di bawah Program Pemadanan daripada Bahagian Industri Makanan Dan Asas Tani (IMAT), MAFI dengan nilai keseluruhan RM119,500.

Turut hadir, EXCO Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar Dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi Hassan dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Padi, MAFI Azman Mahmood.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles