Inisiatif MAFI menerusi LKIM bolehkan 61 nelayan Pulau Jambongan Beluran terima ESHN

BELURAN: Seramai 61 nelayan di Pulau Jambongan Beluran buat julung kalinya menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

Advertisements

Mereka layak menerima bantuan tersebut selepas berdaftar dibawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) berikutan usaha pendaftaran yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bersama Ketua Pengarah LKIM Yusuf Othman menyampaikan bantuan tersebut dalam satu majlis di Kampung Bahanan Pulau Jambongan, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Ronald berkata pemberian ESHN berjumlah RM300 yang diberikan setiap bulan kepada nelayan ini supaya para nelayan yang berdaftar dapat manfaat dari pelbagai program yang disalurkan kerajaan.

Katanya kadar ESHN ini adalah sebagaimana yang telah ditingkatkan oleh Kerajaan bermula Januari
2021, iaitu daripada RM250 kepada RM300 sebulan yang memberi manfaat kepada lebih 35,000 nelayan seluruh negara.

“Pemberian ESHN ini merupakan program bantuan dalam bentuk kewangan yang diberikan setiap bulan kepada pemilik vesel perikanan
dan pekerja atau awak-awak yang layak dan berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan,” katanya.

Pemberian ESHN kepada 61 nelayan di Pulau Jambongan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM17,300.

Pada majlis sama, Ronald juga menyerahkan Mok cek Projek Naik Taraf Jeti Kampung Bahanan bernilai RM 184,100, Projek Bina Baru Jeti Kampung Jambongan Hujung bernilai RM 91,930 dan ESHN PNK Beluran bernilai RM2.3 juta.

Pada majlis itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran mengumumkan cadangan mewujudkan satu lagi PNK di kawasan Parlimen Beluran.

“Dalam hal pengurusan nelayan, satu PNK baharu akan diwujudkan di Kawasan Sugut untuk menangani kawasan yang luas ini supaya perkhidmatan yang diberi boleh membela nasib nelayan di persisiran pantai dari Jambongan hingga ke Sugut,” jelas beliau.

Beliau berkata kerajaan melalui MAFI sentiasa memberi perhatian terhadap peranan penting yang dimainkan oleh nelayan dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan.

MAFI juga memperuntukkan sebanyak RM500,000 di bawah program Bantuan Touch Point Enjin Sangkut kepada 50 ahli PNK Beluran dan hari ini empat nelayan Pulau Jambongan menerima bantuan itu dengan peruntukan RM10,000 setiap penerima.

Dibawah LKIM, dua mini kilang ais di Paitan dan Beluran akan dibina
untuk kemudahan bagi nelayan-nelayan mendapatkan bekalan ais.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles