Elak tragedi semasa pulang beraya – David Chan

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah menasihat pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa balik kampung untuk beraya bagi mengelakkan tragedi cedera dan meragut nyawa.

Advertisements

Presidennya, David Chan berkata, ketika musim perayaan, jumlah kenderaan yang bergerak pada satu-satu masa akan bertambah sekali atau dua kali ganda menyebabkan jalan raya menjadi lebih sesak dan berbahaya.

Menurut beliau, keadaan itu sering menyebabkan sebilangan pemandu tidak sabar dengan memandu laju, manakala sebilangan lagi memandu dalam keletihan malah ada yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Persatuan Pengguna mahu berpesan kepada semua pihak tidak mengabaikan keselamatan diri dan keluarga semasa memandu balik ke kampung atau menuju ke mana-mana destinasi untuk beraya.

“Jangan terjejar-kejar ketika memandu kerana musim perayaan semestinya jalan akan sesak berbanding hari biasa dan senario ini tidak boleh dielak,” katanya.

Beliau berkata, biasanya pada musim perayaan kes-kes kemalangan akan meningkat, malah kes kematian dan kecederaan parah juga bertambah.

“Oleh itu kita harap semua pengguna jalan raya agar kita tidak menjadi antara yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Beliau turut menggesa perkhidmatan awam seperti bas pengangkutan untuk memperkemas perkhidmatan bas mereka dan mengikut piawaian kerajaan.

“Saya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) mengetatkan pemeriksaan rutin untuk bas bagi memastikan mereka mematuhi keperluan keselamatan standard dengan menjalankan ujian nafas rawak untuk alkohol.

“Pastikan pemandu tidak terpengaruh dengan dadah dan alkohol untuk mengelak kemalangan maut. Berjaga-jaga adalah lebih baik daripada perkara tidak diingini terjadi semasa membawa penumpang untuk balik kampung,” tegas David.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

David berkata, pada musim perayaan ini semua pihak perlu lebih bertimbang rasa, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri.

Katanya, apa yang penting ialah bukan cepat atau lambat tiba ke sesuatu destinasi tetapi dapat meraikan hari raya dengan saudara mara dan orang tersayang.

“Semoga sambutan hari raya pada kali ini dapat disambut dengan riang gembira selepas dua tahun tidak disambut ekoran sekatan akibat wabak Covid-19. Oleh itu janganlah jadikan sambutan ini hari berduka kerana kecuaian kita di jalan raya,” tambah beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles