Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur Dijangka Selesaikan Isu Kerosakan Jalan Kinabatangan Telupid – Bung

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Advertisements

KOTA KINABALU:Pelaksanaan empat pakej Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur bagi laluan Kinabatangan – Telupid bakal menyelesaikan isu kerosakan jalanraya sedia ada yang menyaksikan ramai pengguna merungut termasuk yang ditularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, projek itu dijangka menyelesaikan kerosakan yang kerap berlaku di jalan utama, terutama dari Batu 32 Sandakan menghala ke simpang Sapi Nangoh dan seterusnya ke Telupid .

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, sementara projek itu dilaksanakan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun, kementeriannya akan terus meminta pihak konsesi yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan jalanraya di bawah kendalian mereka supaya membaiki mana-mana kerosakan yang serius sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.

Katanya kerajaan tidak bercadang untuk membina semula jalanraya di laluan yang sama.

Bung berkata ini kerana ianya melibatkan pembaziran dari segi kos perbelanjaan yang mana sebahagian laluan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur akan melalui kawasan yang terlibat ditambah lagi jalanraya sedia ada ketika ini telah dibina berpuluh-puluh tahun lamanya yang sudah pasti tidak dapat menampung kenderaan berat seperti lori membawa muatan buah sawit saban hari melalui jalan itu yang merupakan antara penyebab jalanraya cepat rosak.

“Untuk jangka masa pendek apa yang kementerian kami lakukan ialah meminta konsesi yang terlibat menyelanggara jalanraya di kawasan ini agar terus memantau dan memperbaiki kerosakan yang berlaku agar tidak menimbulkan kesukaran kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis iftar bersama warga Kementerian Kerja Raya di salah sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin lepas.

Hadir sama dua Pembantu Menteri Kerja Raya – Datuk Limus Jury, Datuk Robert Tawik, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Jasmin Juplin, Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir.Haji Ali Ahmad Hamid serta pegawai pegawai kanan KKRS.

Menurut Bung adalah menjadi tanggungjawab pihak konsesi yang telah dilantik oleh kerajaan bagi memantau dan memperbaiki jalan-jalan terlibat kerana ianya terkandung dalam perjanjian yang dipersetujui.

“Kerja-kerja pembaikan dari masa ke semasa sedang dilakukan oleh pihak konsesi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya.

Di majlis tersebut turut diraikan ialah 40 orang kanak-kanak dari rumah Anak Yatim Amal Kasih Kingfisher dan Rumah anak yatim Anak Kesayangan Sembulan.

Bung turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada kedua-dua rumah anak yatim itu dan juga anak-anak yatim yang terlibat.

Dalam pada itu, Bung kesal sikap natizen yang tidak bertanggungjawab tanpa membuat sebarang penelitian terlalu cepat menularkan isu keroskan jalanraya di media sosial dan sasaran utamanya pemimpin, JKR dan kerajaan.

“Perlu diingat tidak semua jalanraya yang ada di Sabah dibawah kendalian jabatan kerja raya, ada jalan pertanian, jalan pihak berkuasa tempatan, jalan ladang yang bukannya menjadi tanggunjawab jabatan kerja raya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau jika jalan tersebut menjadi tanggungjawab Jabatan Kerja raya tindakan serta merta akan diambil bagi memperbaikinya setelah laporan diterima dan pasti jalan yang terlibat menjadi tanggungjawab JKR.

Dalam perkembangan yang sama, Bung yang juga ADUN Lamag meminta Pejabat Daerah melalui Majlis Tindakan Daerah di negeri ini, agar dapat menyerahkan senarai status jalan terkini yang memerlukan perhatian baik pulih atau penyelenggaraan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) di kawasan masing-masing, agar tindakan sewajarnya dapat dilakukan.

Menurut beliau status jalan sahih yang diperoleh dan bukan dibawah seliaan KKRS, akan membolehkan KKRS memohon dana dan perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jalan tersebut, sekaligus, menyegerakan proses baik pulih atau proses penyelenggaraan khususnya, terhadap jalan-jalan yang rosak.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles