KOTA KINABALU: Setiap bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah perlu mendekati pengundi 18 tahun agar suara mereka dapat diselami seterusnya diterjemahkan dalam undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap bahagian parti di negeri itu untuk memberi maklumat betapa pentingnya pengundi muda dalam membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.
“Dalam usia kita 18 tahun dahulu, keutamaan adalah belajar, keseronokan dan perkara sama juga pada belia masa kini, sebab itu mesti ada penglibatan dengan belia termasuk mengadakan program melibatkan mereka selain memberi bantuan kerana mereka akan membentuk bangsa kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini malam tadi.
Khairul Firdaus yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi yakin dengan pendekatan itu golongan belia akan lebih memahami peranan mereka sekali gus dapat membuat pilihan yang terbaik dalam PRU15 nanti.
Beliau berkata antara isu belia yang perlu diberikan perhatian termasuk kekurangan peluang pekerjaan, pusat latihan belia yang tidak mencukupi dan kesedaran mengenai kepentingan teknologi.
Sementara itu, Khairul Firdaus berkata tiga pemimpin parti di Sabah iaitu Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor, Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal wajar duduk semeja bagi membincangkan pembangunan di Sabah.
“Ini pendapat peribadi saya, mereka bertiga perlu duduk bersama kerana mereka berpengalaman dan tahu apa yang terbaik untuk Sabah,” katanya.
— BERNAMA
Bersatu perlu selami suara pengundi 18 tahun di Sabah untuk diterjemah dalam PRU15
Advertisements