PAITAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengolah pelbagai tindakan dan langkah serta menambahbaik dasar yang sedia ada untuk memastikan bekalan makanan dapat dirancakkan melalui pertumbuhan industri dan dasar baru.
Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia juga akan menggalakkan penanaman yang sebelum ini tidak diberi tumpuan dan akan diberi tumpuan antaranya penanaman jagung bijiran untuk menampung kekurangan dan kenaikan kos pengimportan dari negara luar.
“Jadi MAFI sentiasa melihat dan mengkaji dasar yang sedia ada dan menumpukan penambaikan dasar untuk memastikan kemampanan bekalan makanan negara berdasarkan faktor-faktor dalaman dan luaran yang mencabar kepada pengeluaran bahan makanan bukan sahaja negara tetapi keseluruhan negara di dunia.
“Jadi kita harapkan pembukaan ini (sempadan negara) akan merancakkan sektor agromakanan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau kawasan Sugut sempena Ramadan di Pentas Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan di sini, semalam.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Samad Jambri dan Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Bahagian Paitan Mohd Hadi Mohd Said.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata MAFI sentiasa menggalakkan pertumbuhan industri dengan Dasar Agromakanan 2.0 yang MAFI lancarkan akan menumpukan kepada pemodenan sektor agromakanan dan pertumbuhan industri hiliran dalam sektor agromakanan akan dirancakkan menjelang 10 tahun akan datang.
Katanya ini akan meletakkan sektor ini sebagai penyumbang pertumbuhan ekonomi dan pengeluaran makanan yang mampan dan memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin walaupun dalam keadaan faktor dalaman dan luaran yang dihadapi oleh negara.
Beliau juga berkata kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan fasa peralihan ke endemik Covid-19 bermula 1 April lepas membolehkan pembukaan sempadan negara memberi impak dan rangsangan kepada pengusaha, peladang, penternak dan nelayan bagi mengerjakan aktiviti pengeluaran mereka pada kadar kapasiti lebih besar.
“Pertumbuhan ekonomi ini merancakkan pertumbuhan sektor agromakanan secara pematuhan SOP dan kita harapkan agar aktiviti ini dan pembukaan lebih luas untuk masyarakat luar datang ke negara kita akan meletakkan keadaan ekonomi negara sebelum tahun 2020 yang lalu.
“Sekaligus ini akan mengembalikan sumber pendapatan kalangan penternak, peladang dan juga nelayan negara kita,” kata Ronald.