KOTA BELUD: Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini turun padang bagi meninjau keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan rendah di daerah itu.
Banjir itu berlaku susulan cuaca yang kurang baik sejak beberapa hari yang lepas.
“Saya berada di Kota Belud sekarang. Cuaca yang kurang baik dalam beberapa hari ini telah menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kota Belud dilanda banjir, ” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata beliau mengikuti dengan rapat perkembangan semasa banjir di kawasan itu.
“Kita sama-sama berdoa agar semua yang terjejas berada dalam keadaan selamat, sihat dan bersabar menghadapi dugaan dalam bulan Ramadan ini,” katanya.