UMS realisasikan impian komuniti, tubuh TABIK di Kundasang

KUNDASANG:?Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya merealisasikan impian komuniti di sini untuk mempunyai sebuah taman budaya dan inovasi.

Advertisements

Dikenali sebagai Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK), pembangunannya diketuai oleh penyelidik universiti Kampus Rahmah itu, Dr. Jurry Foo melalui Skim Dana Khas (SDK).

Menurut Jurry, fasa pembangunan dan operasi TABIK dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020 setelah merangkul hadiah utama dalam Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta (PEREKA) UMS 2019.

“Kemudian pada tahun 2021, pelaksanaan operasi rintis dijalankan komuniti dengan bimbingan UMS.

“Pada ketika ini, taman budaya dan inovasi dikendalikan Persatuan Kebudayaan dan Keseniaan Suara Buluh Perindu Kinabalu (SBPK),” katanya ketika dihubungi media di sini, hari ini.

TABIK dirasmikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin pada Sabtu.

“Syabas kepada semua yang terlibat dalam memastikan projek pembangunan taman ini berjaya direalisasikan.

“Tahniah juga kepada penduduk setempat dan penyelidik UMS yang terlibat. Saya percaya dengan penubuhan taman ini sekali gus membolehkan komuniti termasuk para belia dan semua ahli SBPK dapat memulihara budaya dan alam sekitar bersama-sama.

“‘Sesungguhnya, UMS sentiasa bersedia membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pelbagai program yang bercirikan perpindahan ilmu pengetahuan kepada komuniti seperti penubuhan taman budaya di Kundasang pada kali ini,” kata Taufiq ketika berucap pada majlis itu di sini.

Sementara itu, pengurus TABIK, Khamarul Azman Kowasin berkata, taman tersebut memberikan banyak impak positif kepada SBPK, termasuk membawa kepada pelaksanaan aktiviti yang lebih terancang dan sistematik .

“Sebagai langkah melestarikan TABIK, pusat komuniti ini juga direka sebagai pusat pelancongan pendidikan yang telah mula mendapat sambutan pelancong yang ingin mendalami budaya inovasi.

“Di sini, kita juga mempunyai sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Botani. Maklumat spesies yang ada kini dalam proses pendigitalan dengan bantuan mahasiswa penyelidik dari Program Geografi UMS,” katanya yang mesra dengan panggilan Payuki.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMS serta semua pihak yang memberi sokongan dan bantuan bagi merealisasikan TABIK.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles