Terbuka Korea Selatan: Kemunculan semula bergaya Jin Wei

344

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional wanita negara Goh Jin Wei membuat kemunculan semula dengan bergaya apabila mengejutkan pemain Jepun Asuka Takahashi pada pusingan pertama Terbuka Korea Selatan hari ini.
Jin Wei yang berada di ranking ke-127 selepas kali terakhir membuat penampilan dalam kejohanan pada Jun tahun lepas, bagaimanapun memerlukan 53 minit untuk menjinakkan lawannya di ranking ke-52, dengan kemenangan 21-19, 16-21, 21-17.
Pemain berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu akan berdepan wakil tuan rumah Lee Se Yeo pada pusingan kedua, yang terdahulu menewaskan pemain Israel Ksenia Polikarpova 21-7, 21-8.
Turut melangkah ke pusingan kedua, gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengenepikan beregu lelaki dari India Bokka Navaneeth-Reddy B. Sumeeth 21-14, 21-12.
Pilihan keenam kejohanan itu akan berdepan pasangan muda dari Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menyingkirkan Hiroki Okamura-Masayuki Onodera dari Jepun 7-21, 21-13, 21-13.
— BERNAMA