KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan menyeru semua pihak terutama pengguna untuk terus berhemah dan tidak berbelanja secara sewenang-wenangnya kerana keadaan ekonomi semasa dan harga barang keperluan asas masih tidak menentu.
“Kita perlu sentiasa jadi pengguna yang bijak, peka dengan keadaan dan maklumat semasa, menjaga kawalan aliran perbelanjaan wang kita supaya kita tidak boros dan memberi barang yang tidak menjadi keperluan.
“Kita masih hidup bersama COVID19 dan kita masih perlu berwaspada, khasnya dari segi pengurusan ekonomi peribadi dan juga untuk keselamatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.
Menurut David lagi, pembukaan sempadan adalah satu berita baik untuk perkembangan ekonomi dan anak-anak perantauan untuk pulang bertemu keluarga, namun tidak boleh leka dengan keadaan semasa.
“Pembukaan sempadan adalah kegembiraan untuk kita, dan satu fasa di mana kita akan semakin pulih dari segi ekonomi dan banyak lagi, namun harus diingat, kita perlu terus menjaga kebersihan diri, kesihatan dan memantau keadaan semasa kerana kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada peningkatan kembali statistik pesakit positif COVID19.
“Kita boleh meraikan kegembiraan ini, namun kita juga tidak boleh alpa kerana kealpaan kita akan merugikan kita di kemudian hari kelak,” kata David lagi.
Jelas David, aktiviti pelancongan juga akan pulih selepas pembukaan semula sempadan negara dan ekonomi penduduk tempatan, khasnya yang terlibat dengan pengusahaan ekonomi berkaitan pelancongan akan semakin baik.
“Semoga para pengusaha dan pemain industri pelancongan kita dapat kembali pulih dan menjana pendapatan selepas ini, dan kepada pengguna, terus jadi pengguna yang mementingkan keperluan berbanding kehendak,” ujar beliau lagi.