KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy mengajak semua pihak terutamanya generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti riadah dan bersukan, bagi mengekalkan dan meningkatkan kualiti kesihatan tubuh badan.
“Kita semua perlu selitkan sedikit aktiviti bersukan dan riadah, walau sesibuk mana pun jadual kerja kita, kerana kesihatan kita perlu sentiasa kita pelihara dan bersukan adalah antara cara untuk kita meningkatkan mutu dan kualiti kesihatan kita.
“Dan kini, kita berada di fasa endemik, pastinya ruang untuk kita menjalankan aktiviti sukan dan riadah, lebih terbuka luas, fasiliti juga akan boleh kita gunapakai untuk aktiviti sukan serta riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Andi, penganjuran aktiviti sukan juga sangat digalakkan dari semua peringkat.
“Tidak kita acara sukan yang kita anjurkan itu berskala kecil dari peringkat kampung, misalnya, atau peringkat zon, daerah, negeri bahkan antarabangsa, saya pasti ini adalah satu langkah yang amat baik untuk semua atlet dan rakyat kita.
“Sukan bukan sahaja memberi kita kecergasan, sukan juga mengeratkan silaturahim sesama kita, sekaligus mengutuhkan ikatan ukhwah kita sesama komuniti yang hidup harmoni,” jelas Andi lagi.
Dalam pada itu, Andi juga memberitahu bahawa atlet tempatan Sabah akan kembali giat mengadakan latihan semula bagi mempersiapkan diri untuk SUKMA yang bakal dianjurkan.
“Insyaallah, atlet kita akan kembali menjalani latihan, akan mempersiapkan diri denga napa yang diperlukan, bagi mengharumkan nama negeri Sabah, Bumi Di Bawah Bayu yang kita cinta.
“Saya berharap, kita semua akan memupuk semangat kesukanan ini dalam diri kita, keluarga kita, komuniti kita sekaligus menjadikan sukan sebagai jambatan kepada kejayaan hidup kita, insyaAllah,” ujar Andi lagi.