KOTA KINABALU: Jawatankuasa Usahawan Muda Dewan Perniagaan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC-YEC), Cawangan Sabah berkesempatan mengadakan sesi suai mesra dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Sri Gaya, di sini pada Khamis.
Rombongan yang diketuai oleh pengerusi baharunya, Ar James Wong Kein Peng menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kesudian meluangkan masa hampir sejam untuk berkenalan dan seterusnya berkongsi serta bertukar-tukar pandangan.
Dalam pertemuan itu, Hajiji sentiasa menunjukkan keterbukaan kepada pandangan dan penyertaan daripada generasi muda dalam usaha membangunkan Sabah.
Dasar inklusif yang dipraktiskan oleh Ketua Menteri Sabah telah membuka ruang kepada lebih ramai pihak terlibat memberikan input dalam proses memakmurkan sosio-ekonomi masyarakat negeri ini.
Hajiji turut meluahkan keterbukaan beliau untuk akomodasi bakat-bakat muda yang berwawasan dalam GLC kerajaan Sabah.
Sementara itu, Ar James Wong meluahkan rasa bersyukur diberi peluang untuk bertemu dengan Ketua Menteri meskipun baru saja terpilih sebagai pengerusi MCCC-YEC yang baharu bagi penggal 2022-2024.
Menurut beliau, “kesudian YAB Hajiji bertemu dengan mereka mencerminkan kemesraan YAB Ketua Menteri kepada suara-suara orang muda”.
“Ia secara tidak langsung juga merupakan pengiktirafan YAB terhadap aspirasi generasi baharu…inilah pemimpin yang kita mahu, mudah didampingi rakyat termasuk golongan muda,” katanya.
Dalam sesi perkenalan tersebut, Ar James Wong memperkenalkan barisan kepimpinan MCCC-YEC yang terdiri daripada usahawan-usahawan muda yang berjaya dalam pelbagai bidang yang antara lain termasuk pembinaan, fesyen, dan peruncitan.
Antara mereka yang hadir ialahTerrance Sak Yaw san, Joanne Chin, Dr Chang Kee Ying, Shawn Tan, Dexter Yeh, Yee Tsai Yiew, Lim Eng Ming, Samson Chu Kian Sim, dan Douglas Chong.
Majoriti daripada mereka merupakan graduan dari luar negara yang memilih untuk pulang ke tanahair untuk mengembangkan karier.
Mereka juga merupakan kapten industri untuk bidang pengkhususan masing-masing.