Jahid Minta Ahli PBS “Misompuru” Untuk Hadapi sebarang cabaran politik

KUAMUT: Ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) harus mempunyai semangat dan keyakinan kepada perjuangan parti dan terus bersatu (misompuru) bagi menghadapi sebarang cabaran politik masa kini dan akan datang.

Advertisements

Timbalan Presiden Parti Bersatu (PBS), Datuk Jahid Jahim, berkata, kesatuan sesama ahli dan pemimpin parti amat penting bagi memastikan PBS terus bertahan sebagai parti tertua dan menjadi pilihan rakyat Sabah.

“Parti kita telah melalui liku-liku perjalanan yang amat mencabar, tetapi sehingga kini kita masih bertahan sebagai sebuah parti yang relevan dan kekal utuh di mata rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kuamut, di Dewan Majlis Daerah Tongod, dekat sini pada Jumaat.

Turut hadir Adun Telupid, Jonnybone Kurum, Ketua Exco Wanita PBS, Datin Malianah Ugau, dan beberapa Ketua Bahagian dan pemimpin lain.

Menyingkap semula cabaran yang dihadapi para pemimpin terdahulu PBS dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya, sejarah mengenai perjuangan tersebut seharusnya diketahui oleh generasi muda masa kini.

“Sekiranya dahulu tiada yang memulakan, jika tidak ada langkah yang pertama bagi menuntut hak rakyat negeri Sabah seperti mana yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963, adakah ini akan berlaku?,” katanya.

Justeru, beliau berharap semangat perjuangan pejuang terdahulu itu diteruskan oleh pemimpin-pemimpin hari ini termasuklah para anak-anak muda yang bakal menerajui kepimpinan PBS pada masa akan datang.

Uniknya pada majis tersebut, turut menyaksikan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Terdahulu, Masiung yang diberi kesempatan berucap, memuji semangat semua Perwakilan, Pemerhati serta seluruh ahli PBS Bahagian Kuamut.

Beliau turut menyeru kepada PBS Kuamut untuk meneruskan perjuangan parti, agar terus kukuh dan disegani rakyat.

Sementara itu, Ketua PBS Bahagian Kuamut, Masum Takin, berkata, pada AGM Bahagian Kuamut tahun lalu, sebanyak 22 cawangan telah diaktifkan, manakala tahun ini telah bertambah kepada 26 cawangan, dan dijangka jumlah itu akan bertambah kelak berkat sokongan daripada rakyat kepada PBS.

“Terima kasih atas pengiktirafan daripada YB Datuk Masiung Banah yang telah memberi peluang kepada beberapa pemimpin PBS di Kuamut, terutamanya bagi mengisi jawatan-jawatan di dalam pentadbiran sama ada di peringkat daerah atau kampung,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyuarakan beberapa permasalahan rakyat di Kuamut kepada Jahid, untuk diambil perhatian.

Majlis perasmian itu turut diselitkan dengan penyampaian sebanyak 350 borang keahlian baharu daripada wakil Gerakan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) kepada Jahid.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles