UMS Banyak Membantu Sepanjang Pengajian: Graduan OKU Penglihatan

Oleh: Nur Elly Aqilah, Pelajar UMS

Advertisements

KOTA KINABALU: Saya tidak berhadapan dengan masalah dan mampu menjalani kehidupan dengan baik sepanjang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Demikian kenyataan Asmarina Umar, 25, graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan ketika ditemui selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah) pada sidang lima, Majlis Konvokesyen UMS ke-22.

Menurutnya, ia kerana UMS banyak membantu dari segi keperluan dan kebajikan pelajar-pelajar pelajar sepertinya yang membuatkan mereka mampu menjalani kehidupan kampus dengan baik tanpa berasa dipinggirkan.

“Universiti melalui Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya (PPOKU) membantu dalam pelbagai perkara termasuk pengangkutan dan penempatan bilik yang bersesuaian di kolej kediaman.

“Pusat ini juga sentiasa berhubungan dengan kami untuk bertanya khabar dan memastikan kami semua sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya.

Asmarina mempunyai kelainan upaya pada penglihatan sejak lahir menyebabkan beliau tidak mampu melihat dengan jelas.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mengganggap kekurangan itu sebagai penghalang mencapai cita-cita untuk menjadi seorang guru kelak.

“Kesukaran melihat perkataan-perkataan kecil merupakan cabaran paling besar buat saya.

“Namun saya berterima kasih kepada para pensyarah yang sentiasa bertimbang rasa. Apabila mengetahui keadaan saya, mereka menyediakan bahan pembelajaran dengan menggunakan tulisan yang besar supaya senang untuk saya belajar.

“Saya juga mengambil inspirasi daripada golongan OKU penglihatan seperti saya yang telah mengecapi kejayaan.

“Saya selalu menetapkan minda, jika mereka boleh, saya pun pasti boleh berjaya,” katanya yang berasal dari Semporna.

Anak keempat daripada enam beradik itu turut menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) pada masa akan datang.

“Untuk itu, saya ingin memberi pesanan kepada rakan-rakan lain yang senasib agar tidak mejadikan kekurangan ini sebagai satu masalah.

“Tetapi anggaplah ia sebagai satu keistimewaan pada diri. Saya sendiri ingin menjadi seorang OKU yang berdikari,” kata Asmarina.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles