Banyak latihan menulis kunci kejayaan graduan disleksia UMS

Oleh: Siti Noratiqah Muhammad

Advertisements

KOTA KINABALU: Membuat banyak latihan menulis menjadi kunci graduan disleksia Universiti Malaysia Sabah (UMS) menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah).

Nicoles Timothy, 24, memaklumkan beliau melatih diri menulis setiap hari tanpa mengira lokasi dan situasi.

“Tidak kira ketika pergi bercuti bersama keluarga atau semasa ada waktu terluang, saya manfaatkan setiap ruang dengan menulis.

“Selain membolehkan saya berimaginasi dan mengingati fakta-fakta berkaitan subjek sejarah, ia juga memperbaiki kemahiran menulis saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima skrol ijazah sarjana muda pada sidang lima Majlis Konvokesyen UMS ke-22, kelmarin.

Pemuda berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan itu mengalami masalah disleksia termasuk kesukaran untuk membaca, mengingat dan menulis sejak berusia lima tahun.

Menurut Nicoles, kesukaran untuk memahami sesi pembelajaran dan pengajaran sangat ketara semasa berada di sekolah rendah.

“Kadang kala, fikiran saya melayang-layang memikirkan perkara lain semasa guru sedang mengajar.

“Semasa di sekolah menengah pula, saya sangat sukar untuk memahami subjek Matematik berbanding subjek lain kerana saya tidak mampu mengingati formula-formula pengiraan.

“Walau bagaimanapun, pada ketika itu saya mulai mempunyai minat yang tinggi dalam bidang Sejarah,” jelasnya.

Nicoles berkata, subjek sejarah banyak membantu beliau mengatasi masalah yang dihadapi.

“Sejarah adalah satu-satunya subjek yang membuatkan saya berimaginasi kerana ia mempunyai banyak penceritaan sekali gus turut memperbaiki keupayaan untuk menulis.

“Saya juga sangat gembira dan teruja apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian bidang sejarah di UMS,” katanya.

Penyampaian skrol ijazah disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Dewan Canselor.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles