Yayasan RHYTHM bawa aspirasi bangun komuniti orang asal Sabah: Santhi

 
TUARAN: Yayasan RHYTHM berhasrat untuk membawa lebih aspirasi dan membangunkan komuniti penduduk orang asal Sabah khasnya bagi keperluan pendidikan, komuniti mampan dan kesaksamaan gender.
 
Ketuanya, Santhi Periasamy berkata usaha Yayasan itu adalah untuk membangunkan dan mewujudkan segala impian dan pembangunan aspirasi komuniti orang asal di seluruh negeri Sabah.
 
“Kami amat berterima kasih kerana kedatangan kami di Sabah disambut baik oleh semua dan usaha kami untuk komuniti kaum orang asal juga turut mendapat sambutan dan kerjasama daripada pihak Good Shepherd Services (GSS).
 
“Inilah hasrat kami dan untuk permulaan ini, pastinya impak daripada usahasama ini akan kami lanjutkan lagi untuk masyarakat-masyarakat lain di negeri Sabah secara keseluruhan,” katanya.
 
Santhi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelncaran Projek Adaptasi Komuniti Sabah bagi Fasa Kedua dan Ketiga, dan Perasmian Ekopelancongan Kampung Ratau, Kampung Lokub dan Kampung Talantang di sini hari semalam.
 
Menurut Santhi, yayasan itu merupakan sebuah yayasan korporat di bawah Syarikat Kumpulan QI yang juga merupakan sebuah syarikat multinasional, yang berperanan untuk meneliti dan mengendalikan semua kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat syarikat.
 
“Usaha-usaha kita adalah memfokuskan kepada tiga aspek meliputi Pendidikan Untuk Semua, Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Komuniti Secara Mampan, melalui kolaborasi pasukan kami dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholder) seperti pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan yang mempunyai latar belakang dan reputasi dalam projek berkaitan pembangunan komuniti.
 
“Selain itu, kami juga menjalankan kerja-kerja yang serupa, bukan hanya dalam negara Malaysia, bahkan juga di luar negara seperti Afrika, India, Sri Lanka, Nepal, Indonesia, Vietnam dan juga Thailand,” katanya lagi.
 
Tambah Santhi lagi, usaha utama untuk generasi muda khasnya pelajar adalah pemerkasaan pendidikan dari fasa pendidikal awal sehingga tamat pengajian di peringkat sekolah menengah.
 
Katanya, kebanyakan pelajar yang lahir dari keluarga yang kurang berkemampuan mempunyai potensi untuk berjaya dan tekun untuk menimba ilmu.
 
“Untuk itu, kami berusaha keras untuk membantu dan membangunkan kualiti pendidikan kepada anak-anak ini, yang kurang berkemampuan dan kami juga sedar bahawa kaum wanita juga adalah antara yang perlu difokuskan untuk dibantu dari segi pembangunan kemahiran diri mereka, seperti kemahiran hidup dan insaniah.
 
“Hal ini penting kerana kadangkala segala bakat dan kebolehan mampu dicungkil dari dalam diri mereka, yang mana boleh mereka gunakan dan aplikasikan untuk diri mereka sendiri, supaya mampu berjaya setanding dengan orang lain di luar sana, sekaligus membina kejayaan hidup yang lebih progresif,” tambah Santhi lagi.
 
Tambah Santhi lagi, projek pembangunan komuniti di tiga kampung yang dilaksanakan pada hari ini adalah dibawah kategori Program Adaptasi Komuniti (Community Adoptation Programme) atau CAP yang bertujuan untuk pembangunan komuniti orang asal.
 
“CAP Sabah telah menunjukkan penanda aras kejayaan dan dalam tempoh setahun ini, banyak penerima manfaat iaitu pelajar-pelajar telah berjaya mempamerkan kemajuan dalam pembelajaran akademik di sekolah di bawah turus Pemantapan Remaja dan turus Sokongan Akademik.
 
“Semoga usaha untuk tiga tahun bagi ketiga-tiga fasa ini dapat melibatkan lebih ramai warga komuniti bagi ketiga-tiga kampung yang terlibat dan pastinya kerjasama dari GSS turut akan membantu kepada kejayaan program ini,” jelasnya lagi.
 
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Sabah Datuk Joniston Bangkuai selaku perasmi program dan Pengarah Eksekutif Good Sheperd Services Chin Poh Choo.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles