Pasangan kembar seiras curi perhatian sidang 4 Majlis Konvokesyen ke-22 UMS

KOTA KINABALU: Sepasang kembar seiras mencuri perhatian apabila meraikan majlis graduasi bersama-sama pada sidang empat Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-22 di Dewan Canselor, hari ini.

Advertisements

Pasangan kembar tersebut ialah Nurul Adlina Dahuli dan Nurul Adilah Dahuli, 27, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Pengurusan Perhotelan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

“Kami tidak pernah terpisah sejak kanak-kanak lagi. Dari tadika, sekolah rendah hingga ke sekolah menengah kami sentiasa bersama-sama dalam satu kelas.

“Malah di peringkat universiti ini, kami telah memilih kursus yang sama, dan hari ini kami juga sama-sama hadir ke Majlis Konvokesyen UMS,” kata Adilah (kakak) ketika ditemui pemberita di sini.

Menurutnya, mereka juga merancang untuk membuka perniagaan bakeri pada masa akan datang.

“Sekiranya kami bekerja, sudah pasti akan terpisah antara satu sama lain. Saya mungkin bekerja di tempat lain, manakala adik saya mungkin di syarikat lain.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk merancang membuka perniagaan bakeri, supaya kami sentiasa dapat bersama-sama.

“Lagi pula, saya dan adik kembar saya ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut yang diperoleh daripada pengajian program Pengurusan Perhotelan di UMS,” ujar Adilah.

Sementara itu, Adlina memaklumkan ramai yang sukar membezakan antara kedua mereka pada musim pandemik.

“Sebelum ini, kami senang dibezakan kerana saya mempunyai tahi lalat di pipi. Namun apabila musim pandemik, ada yang tidak dapat mengenali mana kakak, mana adik kerana masing-masing memakai pelitup muka.

“Yang perasan, hanya boleh membezakan kami melalui warna bingkai cermin mata,” katanya.

Berasal dari Kota Belud, kedua-dua mereka menerima ijazah yang disampaikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles