Kajian graduan FSSA UMS terima anugerah Freezailah, raih RM2,000

Oleh: Nur Elly Aqilah, Pelajar Komunikasi UMS

Advertisements

KOTA KINABALU, 29 Mac – Graduan Ijazah Sarjana Muda Program Taman Alam Semulajadi dan Rekreasi, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Chai Lee Ting, 26, menerima Anugerah Kelestarian Hutan Freezailah daripada Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Penyampaian anugerah disempurnakan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim selepas tamat sidang tiga, Majlis Konvokesyen UMS ke-22, di sini, semalam.

Lee Ting dinobatkan sebagai penerima anugerah itu melalui tesis bertajuk ‘Estimation of Aboveground Carbon in Rubber Plantation, Tamparuli, Sabah using Airbone Lidar’.

Menurutnya, getah merupakan antara sumber bahan mentah yang penting di Malaysia.

“Daerah Tamparuli sememangnya terkenal dengan getah, justeru saya memilih kawasan ini sebagai lokasi kajian.

“Kajian yang saya jalankan berdasarkan cadangan bagaimana mengesan dan menganggarkan kadar karbon di atas tanah dengan menggunakan alat kawalan jauh,” katanya ketika ditemui semasa penyampaian anugerah.

Anugerah tersebut membolehkan Lee Ting yang juga penerima Kelas Satu pada istiadat konvokesyen itu meraih wang sebanyak RM2,000.

Beliau yang menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana muda pada 2020 kini sedang melanjutkan pengajian di Fakulti Perhutanan (FPT) UMS dalam bidang Ijazah Sarjana Sains (Perhutanan).

Hadir sama menyaksikan penyampaian anugerah, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Pengerusi MTCC, Haji Kamaruzaman Mohamad; Dekan FSSA, Prof. Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau; dan Dekan FPT, Prof. Madya Dr Normah Awang Besar @Raffie.

Untuk rekod, Anugerah Kelestarian Hutan Freezailah mula dianugerahkan pada 2016 bagi menghargai jasa mantan pengerusi MTCC, Dato’ Dr Freezailah Che Yeom, Pengerusi Pengasas MTCC Malaysia yang telah berkhidmat selama 17 tahun.

Ia ditawarkan MTCC bagi menggalakkan kecemerlangan akademik pelajar dalam kursus-kursus berdasarkan perhutanan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles