TANJUNG KARANG (Selangor): Dua lagi kejayaan dicapai menerusi pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.
Ianya menerusi kolabrasi antara FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dengan majlis pertukaran dokumen memorandum kolabrasi (MOC) ditandatangani hari ini yang disaksikan oleh Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Kilang Beras BERNAS Seri Tiram Jaya di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Ronald turut melancarkan Beras Wangi Malaysia yang diberi nama “SAJI Aroma” khusus dari ladang Smart SBB di Perak dan Selangor.
Ronald menyifatkan kolabrasi ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dan bakal melakar sejarah kerana buat julung kalinya kolaborasi strategik antara dua Syarikat Peneraju di bawah Program Smart SBB iaitu FGV dan BERNAS.
Katanya pelancaran produk di bawah Program Smart SBB iaitu Beras Wangi Malaysia, “SAJI Aroma” sebagai usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk terus membangunkan industri makanan negara secara amnya dan subsektor padi dan beras negara secara khususnya.
Beliau berkata sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan menyumbang tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
Dalam hubungan itu, katanya, sasaran pertumbuhan sektor agromakanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh RMKe-12 bakal meletakkan sektor pertanian antara penyumbang terpenting kepada KDNK negara.
“Selari dengan sasaran meletakkan sektor pertanian sebagai antara penyumbang penting ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka merentasi semua subsektor agromakanan termasuk padi dan beras bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi sepanjang masa.
“MAFI telah dan sedang melaksanakan program Smart SBB yang disertai oleh syarikat-syarikat peneraju yang berminat untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi secara berperingkat, menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan perkhidmatan dan sebagainya,” katanya sambil menambah penyertaan pesawah dalam program ini adalah secara sukarela dan tiada sebarang bentuk paksaan.
Menurutnya kadar Tahap Sara Diri atau SSL beras negara pada ketika ini berada pada paras sekitar 63 peratus yang menjadi antara faktor yang menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import.
Katanya keprihatinan kementerian terhadap isu sekuriti makanan negara juga bersandarkan kepada fakta bahawa populasi penduduk negara akan terus meningkat untuk tempoh sepuluh tahun akan datang
“Seterusnya, akan menyebabkan peningkatan risiko pengeluaran sumber makanan tempatan akibat faktorfaktor di luar kawalan seperti perubahan cuaca dan iklim serta penyakit tanaman,” katanya.
Inisiatif Program Smart SBB yang telah diperkenalkan awal 2021 dan telah disertai oleh sembilan belas (syarikat peneraju sehingga kini.
MAFI berhasrat untuk membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 300,000 hektar secara berperingkat, dengan menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional kepada tujuh metrik tan dalam tempoh RMKe-12 dan meningkatkan pendapatan golongan sasar program iaitu para pesawah.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar MAFI Azah Hanim Ahmad.