Kerajaan Perkenal Pelbagai Skim Bantu Bumiputera Miliki Rumah Pertama

552

KOTA KINABALU: Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai skim bagi membantu golongan bumiputera daripada segi pembayaran pendahuluan untuk membeli rumah pertama.

Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun berkata ini termasuk Skim Mydeposit yang memberikan insentif 10 peratus daripada harga jualan rumah atau maksima RM30,000 yang dibayar secara one-off (sekali sahaja).

Beliau berkata program kementerian yang dilaksanakan melalui kerajaan persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mensasarkan golongan pertengahan termasuk M40.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Negeri II berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini baru-baru ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ingin tahu sama ada kerajaan negeri menyediakan bantuan pembayaran pendahuluan seumpama itu.

Selain itu, Masidi berkata program MyHome diperkenalkan untuk pembeli rumah yang menyaksikan kerajaan memberikan insentif sebanyak RM30,000.

Skim Rumah Pertamaku 2022 juga telah diperkenalkan baru-baru ini yang mana had pembiayaan sekitar RM300,000 ke bawah dengan salah satu syarat ialah pembeli rumah tidak perlu membayar wang pendahuluan, katanya.