Sabah Komited Martabatkan Pembangunan Wanita

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah telah merangka pelbagai strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi memacu pembangunan wanita di negeri ini.

Pembantu Menterinya Datuk Julita Mojungki berkata ini termasuk mewujudkan Akademi Kepimpinan Wanita
dibawah Jabatan Hal Ehwal Wanita(JHEWA).

Beliau berkata penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita itu, antara lain, bertujuan melahirkan pemimpin-pemimpin dan pembuat keputusan dalam polisi kerajaan.

Julita berkata ia juga bermatlamat
untuk menjaga kepentingan wanita dan masyarakat dalam pembangunan serta kemajuan wanita di negeri ini seiring dengan aspirasi, dasar dan halatuju kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Salleh ingin tahu perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri dalam memartabatkan serta memperkasakan golongan wanita di Sabah.

Mengenai perancangan jangka pendek, Julita berkata kementerian itu melalui JHEWA telah menitikberatkan tiga program utama berimpak tinggi iaitu Pembangunan Ibu Tunggal, Program Pembangunan Kepimpinan Wanita Berwibawa (WOS) dan Program Pembangunan Gender.

Menurutnya Program Pembangunan Ibu Tunggal memfokuskan kepada program-program yang boleh menambah kemahiran dan peluang keusahawan kepada para peserta yang mengikuti program.

Program WOS pula merupakan program yang memberi pendedahan dan kesedaran kepada wanita tentang kepentingan kemahiran kepimpinan dan wanita diperingkat pembuat keputusan, katanya.

Julita menjelaskan bahawa Program Pembangunan Gender memberi fokus kepada program yang melatih para peserta untuk menjadi pelatih yang peka terhadap isu gender dengan kepakaran khusus dalam bidang tersebut.

Program itu juga memberi kesedaran kepada para peserta terhadap keperluan menyeluruh semua golongan, katanya.

Menyentuh perancangan jangka panjang pula, Julita berkata kementerian berkenaan akan memastikan pemerkasaan wanita melalui Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah dan Akademi Kepimpinan Wanita yang diterajui JHEWA, sekali gus membantu memartabatkan dan memperkasakan wanita dalam kepimpinan Korporat, Komuniti, Politik dan Pemimpin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles