Peperiksaan gantian STPM pelajar dijangkiti Omicron pada 11-14 April

407

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan peperiksaan gantian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi pelajar yang dijangkiti varian Omicron diadakan pada bulan April ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, peperiksaan STPM gantian akan diadakan selama tiga hari iaitu pada 11 hingga 14 April 2022.

“Tarikh gantian tersebut khusus bagi para pelajar semester 1 STPM 2022 dan calon Ulangan 1 STPM 2021 yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam Sidang Parlimen baru-baru ini.

Sebelum ini, pertanyaan mengenai perkara tersebut dibangkitkan oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) itu semasa sesi Perbahasan dan Penggulungan Titah DiRaja di Dewan Rakyat pada 14 Mac lepas.