Kerajaan Negeri sumbang 30 buah bot, enjin kepada PDRM

256
Caption Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan replika kunci bot kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah sempena Majlis Penyerahan 6 buah bot / 6 buah Enjin kepada PDRM, Penyerahan Sumbangan SESB Kepada Waris Peristiwa Tanduo Dan Penyerahan Bendera Negeri Sabah serta Sumbangan Kepada Peserta "Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan" di pekarangan Menara Kinabalu di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak 30 buah bot dan enjin bernilai RM360,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan menyelamat semasa bencana banjir dan juga keselamatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bot-bot itu akan diagih-agikan ke 10 buah daerah yang sering dilanda bencana banjir iaitu Beaufort, Tenom, Sipitang,Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Beluran,Kinabatangan, Penampang dan Kota Belud.
“Kita berharap dengan sumbangan yang kecil seumpama ini, dapat membantu meringankan sedikit beban pasukan keselamatan kita, iaitu PDRM dalam memantau dan membantu menyelamat semasa berlaku bencana banjir”, katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bot dan enjin kepada Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah di perkarangan Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada waris 8 orang anggota PDRM yang terkorban dan 12 orang lagi yang mengalami kecederaan dalam Peristiwa Tanduo, Lahad Datu bernilai RM60,000 dan RM50,000 untuk Tabung Khas Polis sempena Perayaan Hari Polis yang ke-215.
Sumbangan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat SESB berjumlah RM110,000 itu telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mohd Yaakob Jaafar kepada Datuk Idris Abdullah.
Pada majlis itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyerahkan bendera negeri Sabah dan sumbangan kepada anak jati Sabah, Adelinah Lintanga dari Kota Belud yang akan membawa bendera Sabah menawan Gunung Everest menerusi program pendakian “Everest Expedition 2022, Journey To The Top by Sabahan”.
“Kita bangga dengan usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh Adelinah dan pendaki lain untuk menawan gunung tertinggi di dunia. Saya yakin beliau akan berjaya mengibarkan bendera Sabah di puncak Gunung Everest. Saya mendoakan mereka berjaya dan dipermudahkan segala urusan mereka”, katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shahminan Bin Datuk Ag. Sahari.