Real Beauty Unduk Ngadau 2022 tawar hadiah RM50,000

338

KOTA KINABALU: Pertandingan Real Beauty Unduk Ngadau (RBUN) edisi ketiga pada tahun ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Real Beauty Sdn Bhd, Rejanah Bahanda berkata, selain lima hadiah utama bermula dari tempat kelima (RM600), keempat (RM800), ketiga (RM1,000), kedua (RM2,000) dan pertama (RM5,000), peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah iringan.

Katanya, johan atau pemenang tempat pertama yang berjaya pada pertandingan akhir 7 Mei depan akan turut menerima barangan Skin Care Real Beauty (Arby) selama setahun.

Menurutnya, sebanyak 11 gelaran atau ‘Subsidiaries Title’ dengan hadiah menarik turut menanti peserta pertandingan RBUN kali ini iaitu Miss Social Media, Miss RBUN SuperStar, Miss Most Video Viewed, Miss Best Cat Walk, Best Evening Gown, Best Make Up Looks, Miss Arby’s Choice, Miss Photogenic, Miss Best Talent, Miss Body Beautiful dan Best Ethnic Costume.

Beliau berkata, penyertaan dibuka mulai 10 Mac lalu hingga 28 Mac ini dengan seramai 30 peserta sahaja diambil untuk menyertai pertandingan berkenaan.

“Yuran penyertaan ialah RM100. Setakat semalam 11 penyertaan terawal sudah diterima, lima melalui permohonan secara dalam talian, manakala enam lagi secara mengisi permohonan secara manual.

“Kita hanya menerima 30 peserta bagi memudahkan pengurusan dan memastikan kualiti pertandingan tidak terjejas. Setelah jumlah itu dicapai, permohonan penyertaan akan ditutup.

“Bagaimanapun, kita akan menyimpan nama mereka yang tidak tersenarai sebagai senarai menunggu kalau-kalau ada peserta yang menarik diri. Namun, yuran peserta yang tarik diri tidak akan dikembalikan,” katanya pada sidang media RBUN 2022, semalam.

Pendaftaran secara dalam talian dan maklumat lanjut mengenai pertandingan itu, katanya boleh diakses melalui laman rasmi Facebook Real Beauty Unduk Ngadau.

Rejanah berkata, keputusan menganjurkan pertandingan berkenaan pada tahun ini berdasarkan sambutan menggalakkan dalam edisi pertama dan kedua pada 2020 dan 2021 walaupun diadakan sepenuhnya secara dalam talian disebabkan pandemik Covid-19.

“RBUN mendapat sambutan tinggi selama dua tahun, jadi tahun ini Real Beauty Unduk Ngadau datang dengan inovasi dan pembaharuan yang baharu dan lebih baik berbanding sebelumnya.

“Boleh lihat di Facebook Page rasmi Real Beauty Unduk Ngadau tentang informasi dan juga kita ada tayangkan sesi RBUN 2021 dalam Facebook Page itu. Seramai 16 orang yang menyertai RBUN 2021, tahun lalu kita adakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Untuk tahun 2022 ini, memandangkan kerajaan melonggarkan arahan SOP Covid-19, pihak kami mengambil peluang ini untuk membuat pembaharuan.

“Sepanjang semi final RBUN ini akan diadakan secara dalam talian, manakala untuk Peringkat Akhir (Finale), kita akan buat secara Visual (Offline) di dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negera Sabah (JKKNS),” katanya.

Katanya, berbeza dengan pertandingan Unduk Ngadau sempena Kaamatan yang biasa dianjurkan, RBUN membuka penyertaan kepada wanita berumur antara 18 tahun hingga 30 tahun tanpa mengira ketinggian dan anutan agama, asalkan bujang.

Syarat lain yang ditetapkan, katanya ialah setiap peserta perlu menyediakan rakaman video dan gambar mengikut format yang ditentukan oleh pihak penganjur.

Rakaman video katanya perlu menggunakan bahasa ibunda peserta seperti Dusun, Rungus dan sebagainya, bermula dengan pengenalan diri selama 30 saat, disusuli pengenalan pakaian tradisi juga 30 saat.

Gambar dan rakaman video yang dibuat peserta, katanya perlu asli tanpa sebarang pengubahsuaian imej secara digital dan dihantar ke emel realbeautysb@gmail.com.

Rejanah berkata, peringkat semi final, pertandingan akan dibuat secara dalam talian menerusi platform Facebook Live selama empat minggu di Facebook Page Real Beauty Arby, setiap hari Isnin sehingga Khamis bermula dengan sesi pengenalan pada 4 April dan Semi Final Episod 1 pada 5 April.

“Masa ini penyokong boleh berikan Stars (bintang) kepada peserta pilihan mereka. Cara pengundian untuk Semi Final ialah 50 peratus melalui pembelian produk Arby, 30 peratus melalui Facebook Star dan 20 peratus melalui SenangPay.

“Dalam semi final ni, peserta akan didedahkan dengan pengetahuan tentang lokal masyarakat Sabah. Aktiviti yang ada, lawatan amal (Charity) yang sehaluan dengan kerja amal Real Beauty Sdn Bhd iaitu #Prihatin.

“Peserta juga akan melawat tempat-tempat pelancongan di Sabah untuk mempromosikan pelancongan negeri Sabah. Bagi setiap pembelian, lima peratus akan disumbangkan ke dalam tabung amal yang akan disumbangkan kepada rumah-rumah amal di Sabah,” katanya.

Tarikh RBUN peringkat akhir katanya diadakan pada 7 Mei depan secara hibrid show (online dan fizikal) di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKNS) dengan hanya 10 peserta layak sebagai finalist.

Pada peringkat akhir itu, katanya peserta akan dinilai oleh juri professional sebanyak 50 peratus dan undian pihak awam sebanyak 50 peratus.