Tun Juhar yakin Sabah catat pertumbuhan ekonomi lebih baik tahun ini

KOTA KINABALU:  Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yakin Sabah akan mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini sejajar dengan pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global.
Beliau berkata Sabah kini berada pada landasan tepat ke arah pemulihan serta pertumbuhan ekonomi lebih baik, dan ini dapat digambarkan melalui asas-asas sosioekonomi yang kekal stabil dan semakin mengukuh walaupun masih berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan daripada pandemik COVID-19
“Pembukaan semula sektor ekonomi, aktiviti sosial, pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Hala Tuju SMJ) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pastinya merancakkan semula aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena istiadat pembukaan penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini, hari ini.
Juhar berkata 2022 adalah tahun kedua RMK12 dan merupakan tempoh penting ke arah pemulihan ekonomi Sabah, dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan berterusan diberikan untuk merancakkan pembangunan di negeri itu.
Beliau berkata kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk memajukan Sabah dapat dilihat menerusi pemberian peruntukan pembangunan yang besar di bawah RMK12 dan Bajet 2022.
“Kerajaan Sabah akan memastikan peruntukan itu dibelanjakan secara efisien untuk pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan Persekutuan juga dilihat dapat membantu merancakkan semula aktiviti sektor-sektor ekonomi utama yang secara langsung mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi Sabah.
Sementara itu, Juhar berkata, kerajaan Sabah juga akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa demi memulihkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, untuk menjamin kejayaan strategi Bajet 2022, kerajaan Sabah melalui pendigitalan akan menambah baik Sistem Pengurusan Peruntukan dan Pembayaran sedia ada dengan penambahan beberapa lagi proses penting di Kementerian Kewangan Sabah yang akan diletakkan di bawah sistem induk dikenali sebagai Intelligent State Financial Accounting System (I-SFAS).
“Sistem ini sedang dibangunkan untuk melengkapkan beberapa sistem dalam model transformasi digital pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan negeri secara menyeluruh,” katanya, sambil menambah sistem itu juga dibangunkan untuk persediaan migrasi daripada perakaunan asas tunai kepada perakaunan akruan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. 
Juhar berkata kerajaan Sabah telah mengambil inisiatif menstrukturkan semula objektif dan fungsi badan berkanun dan syarikat kerajaan negeri bagi memastikan semua pelaburan mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi.
Sehubungan itu katanya, kerajaan sedang mengambil perhatian serius ke atas aktiviti-aktiviti ekonomi, pelaburan, program atau projek yang tidak menghasilkan pendapatan, membebankan organisasi dan kerajaan negeri.
“Tanggungjawab dan aktiviti sosioekonomi yang membebankan organisasi sehingga menyebabkan mereka gagal menunaikan tanggungjawab untuk menyumbang secara konsisten kepada hasil negeri juga akan dikaji.
“Post-Mortem ke atas operasi organisasi anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat usaha sama yang dijalankan secara berterusan oleh kerajaan negeri berupaya untuk mengenal pasti punca kegagalan tersebut dengan efektif,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Sabah juga akan memperkasakan lagi proses mengawal selia dan memantau pematuhan semua arahan-arahan tadbir urus korporat dengan menjenamakan semula jawatankuasa yang  ditubuhkan sejak 1997 kepada “Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat”. 
Juhar berkata jawatankuasa itu bertujuan memantau dan mengawasi pelaksanaan Kod Tadbir Urus Korporat terhadap badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat kerajaan negeri termasuk prestasi lembaga dan ahli jawatankuasa lembaga.
“Penubuhan jawatankuasa ini adalah seiring dengan salah satu teras Hala Tuju SMJ iaitu mewujudkan kelestarian fiskal dan memastikan kecemerlangan dalam integriti dan tadbir urus,” katanya.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles