Anak Jati Pensiangan Wakili Malaysia ke Sukan SEA Vietnam

KOTA KINABALU: Siapa sangka anak jati Pensiangan Nazilatul Rosmahani Binti Saidi berjaya mencipta sejarah dan kejayaan tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA Vietnam di Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini.

Advertisements

Gadis berumur 19 tahun yang berasal dari daerah Nabawan, bahagian pedalaman Sabah yang terletak berhampiran sempadan Kalimatan Utara itu bakal menyarung jersi Malaysia dalam acara berpasukan sepak takraw.

Mula menunjukkan minat pada umur seawal 10 tahun, Nazilatul kini bergiat aktif dalam acara sepak takraw selepas mendapat pendedahan dan bimbingan daripada atuknya Encik Awang Aginduk, nama yang tidak asing lagi dalam arena sukan Sepak Takraw di Sabah.

Nazilatul akan mewakili Malaysia bersama-sama seorang lagi pemain wanita berasal dari Kg Biah, Sook, Pensiangan iaitu Ramzah Anam.

Difahamkan, seramai empat orang lagi pemain wanita Sabah yang terpilih, termasuk adik Nazilatul sendiri mewakili Malaysia ke sukan dwi tahunan itu.

Pemilihan dan kejayaan Nazilatul mewakili negara ini ke Sukan SEA turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin yang juga bekas pelari acara pecut negara.

Nazilatul menerima sumbangan kewangan daripada Datuk Ellron di pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah pada Selasa.

Sumbangan tersebut akan digunakan oleh Nazilatul sepanjang tempoh berlangsungnya sukan SEA di Hanoi.
Sementara itu, Ellron menzahirkan harapan agar Nazilatul serta pasukannya dapat mempamerkan prestasi terbaik semasa temasya itu nanti dan “membawa khabar gembira buat rakyat Sabah”.

“Saya mengharapkan agar adik Nazilatul dan pasukan Sepak Takraw Wanita Malaysia akan mengharumkan nama Malaysia dan Sabah khususnya. Kami rakyat Sabah mendoakan yang terbaik untuk anda semua,” kata Ellron.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles