GRS lebih bermakna jika ianya mencakupi parti-parti tempatan Sabah – Ewon

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu entiti politik akan lebih bermakna jika ianya disertai oleh parti-parti politik tempatan Sabah.

Advertisements

Ewon berkata, kelulusan pendaftaran GRS hanya merupakan jenama baru kepada politik lama di Sabah sekiranya ianya masih diterajui atau disertai oleh parti-parti politik dari Semenanjung iaitu Bersatu, Umno, PAS, MCA dan sebagainya.

“Selagi teraju utama GRS masih ber-presidenkan parti dari Semenanjung Malaysia dan kepimpinan tertinggi parti masih dipengaruhi dasar-dasar kepimpinan Malaya (Semenanjung Malaysia), ianya tidak akan memberi kelebihan kepada harapan dan tuntutan politik rakyat Sabah.

“Saya maklum dengan pandangan ahli-ahli akar umbi dan rakyat Sabah tentang penyertaan UPKO dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga merupakan gabungan di peringkat nasional dan kepimpinan negeri diterajui oleh parti dari Semenanjung. Dalam konteks ini, PH Sabah tidak ada banyak beza dengan GRS atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Bezanya mungkin jika kepimpinan PH Sabah itu diberikan kepada parti tempatan Sabah,” kata Ewon.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyatakan demikian semasa perjumpaan dengan kepimpinan akar umbi parti tersebut di Mukim Kelawat dan Kinasaraban di sini, kelmarin.

Ewon menyatakan, sebagai pemimpin parti, beliau perlu akur dengan kehendak dan aspirasi rakyat dan juga ahli-ahli parti.

“Selama ini, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bottom up, iaitu pandangan akar umbi harus memandu halatuju kepimpinan. Sebagai Naib Presiden UPKO, saya ambil maklum kemahuan sebahagian besar rakyat Sabah yang mahukan gabungan politik mewakili parti-parti tempatan.

“Jika kita mahu menuntut pelaksanaan berkesan Perjanjian Malaysia 1963, menolak tuntutan Filipina dan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu dan mengurus pembangunan rakyat dan negeri Sabah, sebaik-baiknya kita dapat membina gabungan politik parti-parti tempatan Sabah. Saya boleh mengadakan referendum UPKO jika GRS didaftarkan hanya mencakupi parti-parti tempatan Sabah, tetapi jika ianya masih diterajui dan dianggotai oleh parti-parti dari Semenanjung, maka ianya tidak berbeza daripada gabungan politik yang sedia ada,” katanya.

Dalam Ewon menyatakan pendiriannya untuk terus kekal bersama parti UPKO Walaupun parti tersebut kini berada di luar kerajaan.

“Saya mahu menyumbang kepada kemahuan sebahagian rakyat Sabah yang mahukan budaya wakil rakyat katak ini dihentikan. Jika saya mahukan kerja atau jawatan atau peruntukan ADUN untuk diuruskan, saya boleh memilih menyertai mana-mana parti kerajaan dan saya boleh memilih menyertai mereka dari awal jika saya berfikiran sedemikian. Tetapi saya tetap memilih bersama keluarga politik saya, iaitu UPKO walaupun sudah ramai yang berhijrah ke parti lain.

“Selagi saya menjadi ADUN Kadamaian, saya akan jalankan amanah saya sebagai ADUN. Saya sudah buktikan bagaimana seseorang ADUN Kerajaan sepatutnya berfungsi, dan kini bagaimana seseorang ADUN Pembangkang sepatutnya berfungsi,” katanya.

Dalam program tersebut, Ewon menerima laporan mesyuarat agung cawangan daripada 11 cawangan UPKO di Mukim Kelawat dan 4 cawangan UPKO di Mukim Kinasaraban.

Dalam perjumpaan tersebut juga, Ewon menyampaikan sumbangan sebanyak RM4000 untuk membubuh batu kelikir di sepanjang jalan masuk dan sekliling sekitar Dewan Terbuka Kg Tolus Kelawat dan sumbangan RM1000 kepada persekutuan wanita Kg Tolus untuk menambah kemudahan peralatan dan kelengakapan memasak mereka.

Ewon turut menyampaikan sumbangan bakul makanan sebanyak 130 bungkusan kepada isirumah yang memerlukan di kedua-dua mukim tersebut.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles