Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyokong syor pembukaan semula sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Katanya langkah itu akan memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutama dalam sektor pelancongan, sekali gus boleh menyumbang kepada pendapatan negara.
Menurut beliau, kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali pelbagai ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.
“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada selasa,” katanya.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikain sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya di bangunan Parlimen pada selasa lepas.
Ismail dalam sidang media tersebut memberi tahu sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April dimana menurut beliau langah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa “Peralihan Ke Endemik” bertujuan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Menurut Bung , perkara itu telah beliau bangkitkan dalam ucapan perbahasan menjunjung Kasih Titiah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat pada isnin yang meminta kerajaan khususnya kementerian yang terlibat untuk mengkaji perkara itu demi untuk kebaikan terutama untuk memulihkan ekonomi dan rakyat yang sekian lama terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.
Bung berkata Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.
Bagaimanapun Bung turut mengingatkan agar , pembukaan semula sempadan negara perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko, selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.
“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara” katanya
Bagaimanapun, Bung menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.