42,097 wanita mendapat Inisiatif BAIDURI di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 42,097 wanita mendapat manfaat bagi inisiatif Bantuan eKasih Dana Caruman i-SURI atau BAIDURI yang membabitkan peruntukan sejumlah RM2,525,820.00, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata BAIDURI yang diperkenalkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Belanjawan 2022 adalah bukti keperihatinan kerajaan dalam membantu golongan wanita di negeri ini.
Katanya, ia adalah bantuan Kerajaan Negeri dalam bentuk dana awal caruman KWSP secara one-off berjumlah RM60.00 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan.
“Inisiatif ini bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.
“Dengan melaksanakan inisiatif BAIDURI ini kerajaan negeri telah memberi peluang wanita e-Kasih ini mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini memberi peluang kepada golongan wanita terutama sekali suri rumah untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial yang berkualiti selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati oleh ahli KWSP yang lain,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-SURI (BAIDURI) di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini pada Selasa.
Antara manfaat yang lain dengan inisiatif BAIDURI ini ialah memberi perlindungan kehidupan luas kepada wanita, bukan setakat simpanan persaraan, tetapi kemudahan lain seperti bantuan hilang upaya, bantuan kematian serta pengeluaran caruman pada usia 50, 55 dan 60 tahun.
Inisiatif baharu ini diperkenalkan khusus untuk Isteri Kepada Ketua Isi Rumah atau Ketua Isi Rumah Wanita yang berdaftar dengan e-Kasih.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan GRS prihatin terhadap pembangunan wanita, malah dalam belanjawan setiap tahun golongan itu tidak terkecuali untuk mendapat peruntukan khas demi untuk memperkasakan wanita di negeri ini.
“Kerajaan Negeri amat mengiktiraf sumbangan dan peranan wanita bukan saja dalam sesebuah keluarga tetapi juga sebagai nadi kepada pembangunan masyarakat serta negara. Peranan mereka dalam pembangunan negeri adalah amat signifikan.
“Sebab itu, bagi menghargai sumbangan besar kaum wanita, Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita, dalam Belanjawan 2022,” katanya sambil menambah bahawa kesejahteraan wanita akan akan terus dibantu terutama mereka yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.
Beliau turut meminta semua wanita agar sentiasa peka terhadap setiap perubahan, memanfaatkan peluang yang disediakan, menimba seberapa banyak ilmu dalam apa juga program yang dilaksanakan kerajaan.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Sarul Bahiyah Abu dan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles