Jangan Panik Kemunculan Ikan Jerung Paus di Perairan Taman Negara Tunku Abdul Rahman – Maklarin

KOTA KINABALU: Orang ramai tidak perlu takut dan panik dengan kemunculan ikan jerung paus di kawasan perairan Taman Negara Tunku Abdul Rahman berhampiran bandaraya Kota Kinabalu beberapa hari lepas.

Advertisements

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim berkata jerung paus tidak merbahaya kepada manusia malahan menjadi tarikan unggul bagi peminat-peminat selam skuba di negeri Sabah.

Menurutnya jerung paus memakan secara menapis, dan di sebalik saiznya yang besar sepanjang 40 hingga 50 kaki dan berat sehingga 15 tan, ia tidak memiliki gigi yang besar dan tajam seperti kebanyakan ikan jerung yang lain.

Oleh itu, katanya ia tidak mampu mengigit atau mengunyah makanannya.

Maklarin berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kemunculan Ikan jerung paus yang telah dilihat di perairan Taman Tunku Abdul Rahman beberapa hari yang lepas.

Beliau berkata ikan terbesar di dunia itu muncul di perairan taman secara bermusim, kebiasaannya pada bulan Februari hingga Mac setiap tahun, setelah musim tengkujuh berakhir.

Katanya ikan jenis itu terdapat di perairan Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut Cina Selatan di sekeliling negeri Sabah.

Maklarin berkata pada tahun 2016, Negeri Sabah telah mengisytiharkan zon pelindunagn dalam enam taman marin di Sabah sebagai Santuari Jerung, khususnya jerung paus.

Beliau berkata kemunculan jerung paus didorong oleh pelbagai faktor termasuk kehadiran sumber makananya di dalam laut yang berupa hidupan marin kecil seperti plankton, alga, udang dan ikan-ikan kecil.

Taman Negara Tunku Abdul Rahman terdiri daripada sekumpulan pulau yang terletak di antara 3 hingga 8 kilometer di luar Kota Kinabalu.

Pulau-pulau itu ialah Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles