Perkukuh Jaminan Sekuriti Makanan Negara – Ronald

 
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara dengan mengadakan program Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022 di sini, hari ini.
 
Dialog yang bertemakan “Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan” diadakan bertujuan untuk mengenal pasti isu sektor agromakanan khususnya aspek sekuriti makanan dan mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha memperkasa sektor agromakanan negara.
 
Selain itu, tema ini dilihat selaras dengan penekanan yang diberikan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030) yang antara lainnya memberi penekanan terhadap pemodenan sektor pertanian yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
 
Program Sesi Dialog ini dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, selaku panel sesi dialog.
Turut serta sebagai panel dialog adalah Timbalan Menteri II MAFI YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh dan Ketua Setiausaha MAFI YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid.
 
Seramai 200 orang peserta secara fizikal dan 1,000 orang secara Webinar / Facebook Live telah hadir dan menyertai program dialog ini yang terdiri daripada kalangan pemain-pemain industri sektor agromakanan merangkumi subsektor padi, tanaman, ternakan, perikanan dan keseluruhan rantaian agromakanan meliputi persatuan-persatuan dan pemain industri yang terlibat di sepanjang rantaian nilai sektor agromakanan seperti wakil pengeluar, syarikat peneraju, pengimport-pengimport dan pengeksport, serta wakil-wakil industri yang aktif terlibat dalam rangkaian pemasaran dan pemprosesan.
 
Selain daripada pemain industri sektor agromakanan, sesi dialog ini turut melibatkan penglibatan daripada jabatan dan agensi di bawah MAFI serta jemputan daripada kementerian, jabatan dan agensi lain yang berkepentingan dalam sektor agromakanan.
 
Dr Ronald berkata Dialog Industri Agromakanan 2022 ini merupakan salah satu inisiatif MAFI, platform komunikasi 2 hala secara terus bersama pemain industri selaras dengan pendekatan whole of goverment dan whole of society untuk berkongsi idea, pandangan, cadangan dan hala tuju kerajaan.
 
Katanya ia juga bagi mengeratkan kerjasama dan hubungan baik untuk MAFI terus memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seiring dengan keperluan semasa khususnya melalui golongan sasar seperti petani, penternak dan nelayan serta semua pemain industri di sepanjang rantaian nilainya,’ kata Dr Ronald.
 
“Selain itu, inisiatif Dialog ini mampu mengenalpasti isu-isu sektor agromakanan khususnya aspek sekuriti makanan sebelum langkah intervensi yang sesuai diambil mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha untuk terus memperkasa sektor agromakanan serta menjamin sekuriti makanan,” katanya menerusi satu kenyataan MAFI.
 
Menurut Dr Ronald, meninjau prestasi satu dekad yang lalu, sektor agromakanan terus mengekalkan daya tahan, dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus meningkat daripada RM26.6 bilion pada tahun 2010 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.
 
“Namun begitu, bagi memenuhi keperluan penduduk, negara pada hakikatnya masih perlu bergantung kepada import beberapa komoditi makanan utama seperti beras, sayur dan daging untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi pada setiap masa,” jelas beliau.
 
Tambah Dr Ronald, negara turut menghadapi cabaran perubahan iklim yang akan menjejaskan kemampanan sumber asli untuk aktiviti pertanian.
 
Justeru, katanya, tahap penerimagunaan teknologi dan automasi dalam kalangan pengusaha perlu ditingkatkan, dilengkapi dengan pelaburan swasta serta penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi untuk memacu pertumbuhan sektor agromakanan.
 
Untuk rekod, sesi libat urus awal dengan pemain industri telah diadakan bagi mengenalpasti isu-isu utama setiap subsektor dan cadangan penyelesaiannya. Di antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan subsidi / insentif, Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), pengurusan tanaman padi, pendekatan teknologi Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management), pembangunan industri sarang burung walit, pembangunan industri hiliran, pengurusan buruh asing, pensijilan, tenaga buruh, lesen, kru asing, pengimportan, tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL), pemasaran dan kenaikan harga input, makanan dan peralatan.
 
 
Pandemik COVID-19 dan bencana banjir telah menguji daya tahan sistem makanan negara dalam mengatasi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan. Aktiviti pengeluaran makanan juga tidak dapat dilaksanakan secara optimum akibat daripada kekangan masa dan tenaga kerja yang mengakibatkan kerugian besar. Kesan limpahan terhadap keseluruhan rantaian sistem makanan dan sekuriti makanan negara sehingga menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan dan pendekatan-pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan sepanjang masa.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles